Siakap Keli
Kredit: Vietnam Net

Sampai Keras Dalam Perut, Didakwa Kerap Minum ”Bubble Tea”, Usus Pemuda Tersumbat

Phu Tho, Vietnam – Akibat selalu meminum teh boba, seorang lelaki terpaksa dimasukkan ke hospital akibat usus tersumbat.

Menurut jurucakap hospital awam wilayah Phu Tho, pesakit lelaki, Tran Nhat L, 20, mengalami sakit abdomen dan muntah-muntah sebelum dihantar ke unit kecemasan.

Setelah menjalani imbasan CT, doktor mendapati terdapat sesuatu yang menyekat usus pesakit berkenaan manakala ultrasound menunjukkan berlaku pembesaran usus.

Nhat mengalami kesakitan selama 20 hari sejak pertengahan Julai lalu sebelum keadaan menjadi lebih teruk pada awal Ogos ketika dia mengalami kesakitan semasa membuang air besar.

Berikutan itu, dia dibawa ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan. Setelah lima hari menjalani rawatan, pesakit tersebut dihantar ke hospital di mana doktor mendapati usus pemuda berkenaan tersumbat disebabkan sisa makanan yang tidak dihadam.

Kebiasaannya, doktor boleh menjalankan endoskopi dan memisahkan makanan yang tidak tercerna di dalam perut. Namun, disebabkan ketulan makanan di dalam perut Nhat cukup keras dan tidak boleh dipisahkan, doktor terpaksa menjalankan pembedahan.

Setelah menjalankan pembedahan ke atas usus kecil dan perutnya, doktor berjaya mengeluarkan dua ketulan hitam dari kedua-dua organ berkenaan.

Kredit: Vietnam Net

Dr. Tung berkata, kes usus tersumbat merupakan kes yang serius. Jika tidak dibuang segera, pesakit berisiko mengalami jangkitan, keracunan, kegagalan pelbagai organ dan kematian.

Menurut keluarga mangsa, dia mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat. Nhat yang ketagih dengan teh susu sering mengambil minuman berkenaan dan tidak makan nasi sejak bekerja di gerai minuman ringan berkenaan.

Berikutan itu, doktor berpesan agar orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan mengehadkan pengambilan makanan segera, snek, minuman ringan serta mengambil ubat cacing secara berkala.

Untuk mengelakkan gangguan pencernaan akibat sisa makanan, kita disarankan untuk mengambil makanan tinggi serat, mengunyah dengan betul dan minum air pada kuantiti yang cukup.

Sebelum itu, 19 orang pelajar sekolah rendah di negara itu dimasukkan ke hospital akibat keracunan setelah meminum teh boba manakala seorang wanita maut keracunan dan seorang kanak-kanak maut akibat tercekik butir mutiara.

Sumber: Vietnam Net

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.