Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Sebuah Kenderaan Hilang Setiap 40 Minit – Pengarah VTREC

Kuala Lumpur : Kajian Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) mendedahkan sebuah kenderaan hilang setiap 40 minit di negara ini.

Hasil kajian yang dibuat tahun lepas berdasarkan tuntutan insurans yang diterima itu mendapati sebanyak 13,340 unit kenderaan dicuri sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu, 60 peratus melibatkan motosikal.

Pengarah VTREC Datuk Ooi Win Juat berkata kadar kecurian kenderaan itu bagaimanapun berjaya dikurangkan hasil kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta melalui pelbagai tindakan proaktif dalam memperketatkan ekosistem pentadbiran dan transaksi kenderaan.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun dari 2014 hingga 2018, statistik Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia menunjukkan persamaan dari segi penurunan kadar kecurian kenderaan iaitu dalam lingkungan 50 peratus.

“Walaupun ada penurunan tetapi harus sentiasa mengawasi supaya trend seperti ini berterusan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC di Bangunan Malaysian Re, di sini.

Ooi berkata pihaknya akan terus membantu dengan menjalankan kempen kesedaran kepada pemilik kenderaan untuk melakukan pencegahan supaya kenderaan mereka tidak terdedah untuk dicuri.

Beliau berkata VTREC akan berusaha mendapatkan penglibatan masyarakat untuk memainkan peranan dalam membanteras jenayah curi kenderaan terutama dari segi pencegahan.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal/e-Sektor Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman ACP Mohd Soaihami Rahim.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.