Siakap Keli

(Video)”Tuanku Dan Saya Cukup Suka Lukisan Ni” Kreatif Hasil Potret Geometri Agong Dan Permaisuri, Bakat Pemuda Ini Viral Di Media Sosial

Mendapat perhatian orang yang kita minati pastinya membuatkan hati berbunga-bunga. Apatah lagi jika mendapat perhatian Yang Dipertuan Agong dan Permaisuri Agong, berdebar hati dibuatnya.

Inilah yang dilalui oleh seorang pelukis dan penulis buku Arkitek Jalanan yang dikenali sebagai Teme Abdullah apabila Tuanku Permaisuri memuji potret yang dihasilkannya semalam.

Teme menghasilkan potret Seri Paduka Baginda berdua sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 dan memuatnaik video tersebut di laman sosialnya semalam.

Kirimannya telah diulangkicau oleh Tuanku Permaisuri Agong di Twitter dan turut mendapat komen penghargaan baginda di Instagram.

Tuanku Permaisuri Agong turut berkenan untuk mendapatkan potret tersebut.

Kecil tapak tangan, nyiru patik tadahkan

 

Menurut Teme, beliau meminati bidang lukisan sejak kecil lagi. Minatnya yang mendalam dalam seni lukisan inilah mendorongnya untuk mendapatkan Ijazah Seni Bina dan terus bekerja di London setelah bergraduasi.

“Saya minat melukis sejak kecil. Dan lukisan juga salah satu ikhtiar untuk tampung kos pembelajaran saya di UK dahulu,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli.

Beliau sangat dikenali dalam kalangan peminat buku di Malaysia dengan terbitan 6 buah buku termasuk ‘Pelukis Jalanan’ yang menceritakan survival seorang pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran di London tanpa biasiswa.

“Lukisan YDP Agong dan Tuanku Permaisuri tu saya lukis sempena merdeka. Dalam keadaan Malaysia yang menempuhi cabaran, saya nampak baginda berdua merupakan sosok yang berjaya menyatupadukan rakyat jelata.

“Jadi, saya ingin ketengahkan perkara tersebut sebagai hidangan positif buat pengikut saya di Instagram, Twitter, dan Facebook.

“Dengan nama Teme Abdullah, saya hanya ingin dikenali rakyat Malaysia sebagai penulis dan pelukis. Saya hanya mahu hiburkan followers saya,” katanya lagi.

Semoga kesungguhan Teme terus menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana.

Mesti korang tertanya-tanya macam mana lah Teme lukis potret tu, kan? Jom, tonton video-video lukisan tu di bawah.

Sumber: Tuanku Permaisuri Agong, Teme Abdullah

Amira

Love yourself.