Siakap Keli
Gambar: Goodyfeed

Ramai Anggap Remeh, Ini Kesan Buruk Sekiranya Tak Tutup Mangkuk Tandas Sebelum ‘Flush’

Boleh dikatakan setiap orang perlu menggunakan tandas pada setiap hari. Sudah menjadi satu kepuasan sekiranya mendapati tandas yang dimasuki berada dalam keadaan yang bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Setiap kali masuk tandas, adakah anda sedar terhadap kewujudan penutup mangkuk tandas sama ada ianya berada dalam keadaan yang tertutup mahupun terbuka?

Mengikut andaian orang ramai, penutup mangkuk tandas itu berfungsi untuk menghalang pemandangan yang tidak ‘manis’ ketika ingin menggunakannya. Namun, penciptaan penutup tandas mempunyai tujuan yang lebih besar daripada itu.

Menghalang penyebaran kuman 

Setelah mengunakan tandas, perkara wajib yang anda perlu lakukan ialah untuk ‘flush’ supaya semua bahan sisa yang anda buang dapat dialirkan terus ke sistem loji rumah anda. Namun tanpa sedar, ketika anda menggunakan ‘flush’ ianya boleh menyebabkan penyebaran kuman dan bakteria sehingga sejauh 4 meter.

Jarak tersebut sudah memadai untuk keseluruhan ruang tandas anda tercemar dengan kuman daripada mangkuk tandas. Ianya juga boleh mencemarkan barangan mandi anda seperti sabun, syampu, tuala, dan juga berus gigi.

Disebabkan perkara itu, penutup tandas sangat penting untuk digunakan ketika anda ‘flush’ setiap kali selesai menggunakan tandas. Penutup tandas yang dipasang bersama mangkuk tandas itu akan memerangkap kuman dan bakteria di dalam mangkuk tandas ketika proses air mengalir semasa ‘flush’.

Tujuan keselamatan barangan, kanak-kanak, haiwan peliharaan

Selain berfungsi untuk menghalang penyebaran kuman dan bakteria, penutup mangkuk jamban juga perlu sentiasa digunakan bagi tujuan keselamatan. Perkara ini kerana dikhuatiri terdapat barangan kecil yang terjatuh ke dalam lubang tandas dan ianya sudah pasti sesuatu yang menjijikkan untuk mengambilnya kembali.

Selain itu, ia juga berperanan untuk menghalang kanak-kanak kecil terjatuh ke dalam lubang tandas. Perkara ini berikutan terdapat kes seorang kanak-kanak kecil yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas yang terbuka. Penutup itu juga berguna untuk keselamatan haiwan peliharaan yang berisiko jatuh ke dalam mangkuk tandas. Sudah pasti anda tidak mahu badan anak kecil dan haiwan peliharaan anda tercemar dengan air sisa buangan daripada manusia.

Penutup mangkuk tandas sangat penting untuk digunakan oleh semua orang. Walaupun ianya kelihatan remeh, namun penutup tersebut boleh mengurangkan risiko kesihatan anda dan seisi keluarga terjejas.

Sumber: Fabiosa Digest / Dengarden.com

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra