Siakap Keli
Gambar : Bernama

Jerebu Landa Pulau Pinang, IPU Cecah 90

George town : Pulau Pinang mengalami keadaan jerebu sejak semalam dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang diperoleh di beberapa tempat di negeri ini mencatatkan bacaan di tahap sederhana antara 79 dan 90.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan pada pukul 2.00 petang di Minden Universiti Sains Malaysia (USM) mencecah IPU 90, diikuti Balik Pulau di paras IPU 85, sementara Seberang Jaya dan Seberang Perai masing-masing mencatatkan IPU 79.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Jabatan Meteorologi Malaysia pula mencatatkan bacaan jarak ketampakan di Butterworth sejauh 4 Kilometer (km) pada pukul 2.00 petang manakala Bayan Lepas ialah 5km.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Bangunan Komtar kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di Pulau Pinang sejak pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata walaupun bacaan IPU menunjukkan Pulau Pinang berada di tahap sederhana, namun pihaknya bimbang sekiranya bacaan IPU terus meningkat.

Sejak tiga hari lepas, bacaan IPU di negeri ini dilaporkan berada antara 75 hingga 88 dan menghampiri ke tahap tidak sihat hari ini iaitu 90.

“Kami turut menerima laporan berhubung kesihatan penduduk yang mengalami batuk dan demam sejak negeri dilanda jerebu. Orang ramai dinasihat supaya minum air yang banyak serta mengurangkan aktiviti luar sekiranya cuaca jerebu bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi sumber di sini.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Selain itu, maklumat cuaca terkini dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.