Siakap Keli
Kredit: Balrz.tv/BolaSport.com

”Jujur, Sebagai Kapten Saya Sangat Sedih”, Giliran Pemain Indonesia Luah Kekecewaan Dengan Perangai Penyokong Sendiri

Jakarta – Penjaga gol pasukan Indonesia, Andritany Ardhiyasa menyuara kekesalan atas tindakan penyokong mereka yang mendekati penyokong Malaysia ketika pertandingan di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini semalam.

Menurut CNN Indonesia, penyokong Indonesia dilihat memanjat pagar stadium dan memprovok penyokong Malaysia sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira 10 minit ketika kedua-dua pasukan mendapat mata seri 2-2.

“Jujur hati saya lebih sakit melihat kejadian di stadium. Tindakan ini ibarat menconteng arang pada Indonesia,” kata Andritany selepas perlawanan.

“Kita patut boleh menerima apa sahaja hasilnya. Kita semua di sini ingin menang walaupun hasil semalam tidak bagus, tapi kita harus boleh menerima.

“Jujur sebagai kapten, saya sangat sedih melihat apa yang dilakukan penyokong,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau berkata, pasukannya perlu memperbaiki semua aspek untuk bangkit dari kekalahan di laman sendiri.

Sementara itu, salah seorang pemain Indonesia, Beto Goncalves mengakui bahawa fokus pemain berasa terganggu akibat kekecohan disebabkan penyokong.

“Kita sudah fokus dengan pertandingan, tiba-tiba ada masalah (pertandingan dihentikan), ini menyebabkan down. Kami perlu buat mereka tenang, tetapi kejadian tadi membuatkan kami hilang fokus,” katanya ketika ditemubual.

Beliau berharap para penyokong dapat menunjukkan rasa hormat kepada pasukan dan penyokong negara lain.

“Tidak boleh ada pertembungan kerana kita sama-sama manusia. Kita cuma berbeza negara. Kita harus menghormati penyokong lawan. Nanti jika kita main di sana, kemudian mereka lakukan perkara yang sama, bagaimana?” kata Beto.

BACA: Tiket Perlawanan Pusingan Kedua Menentang UAE Mula Dijual Secara ”Online” Hari Ini

Sumber: CNN Indonesia

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.