Siakap Keli
Kredit: TheNews.com.pk

Tragedi Tahfiz Terbakar Ketika Pelajar Mengaji Al-Quran, Sekurang-Kurangnya 27 Maut

Monrovia, Liberia – Sekurang-kurang 27 murid terkorban dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah sekolah agama di pinggir ibu negara berkenaan pada malam Rabu.

Menurut jurucakap polis, Moses Carter, kebakaran itu telah merosakkan bangunan sekolah dan dorm di mana para pelajar tidur.

“Para pelajar sedang belajar Al-Quran ketika kebakaran bermula,” katanya.

Pada awalnya, Carter memaklumkan seramai 30 mangsa terkorban sebelum menyemak semula jumlah kematian dan mendapati seramai 27 pelajar maut. Hanya imam, seorang guru dan dua orang pelajar yang berjaya menyelamatkan diri.

Ratusan orang awam berkabung sementara ambulans mengeluarkan mayat mangsa dari dalam bangunan. Semua mangsa dikebumikan pada tengah hari Rabu.

Kredit: Al-Jazeera/Carielle DOE/AFP)

Presiden Liberia, George Weah melawati lokasi kejadian bagi memberi sokongan buat keluarga mangsa yang terlibat.

“Ucapan takziah yang paling mendalam buat keluarga mangsa dan komuniti Islam yang kehilangan,” kata George di Twitter miliknya.

“Semoga Tuhan memberi mereka kekuatan dan ketabahan untuk bertahan.”

Carter berkata kebakaran disebabkan masalah elektrikal dan siasatan masih berlangsung. Kejadian kebakaran bangunan akibat masalah elektrikal sering berlaku di bandar-bandar besar di Liberia, namun jarang sekali menyebabkan kematian.

Sebuah masjid di Paynesville berhampiran Monrovia pernah terbakar pada 29 Oktober 2004. (Kredit: TRT World/AFP)

Pastor Emmanuel Herbert yang berada di gereja berhampiran berkata dia dan rakan-rakannya terjaga setelah mendengar bunyi api dan suara meminta pertolongan.

“Apabila saya berpaling untuk melihat, keseluruhan bangunan berwarna merah. Saya lihat menerusi tingkap dan mendapati seluruh tempat dijilat api,” katanya.

Api sungguh marak dan tiada jalan untuk memasuki bangunan, tambahnya lagi.

Sumber: The Independent

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.