Siakap Keli
Kredit: Dr Azila

Selalu Makan Manis, Budak 5 Tahun Menderita Karies Gigi, Doktor Cakap Boleh Maut Jika Kes Berulang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Penjagaan kebersihan dan kesihatan oral amat penting tanpa mengira usia termasuklah bayi yang belum tumbuh gigi mahupun warga emas yang sudah kehilangan semua giginya.

Bagi kanak-kanak yang tidak tahu membezakan baik dan buruk, makanan manis pastinya menjadi kegemaran. Ibu bapalah yang perlu bertegas walaupun tak sampai hati tengok si anak yang merayu minta makanan ringan.

Doktor Gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim baru-baru ini berkongsi kisah seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang mengalami karies gigi akibat tidak menjaga pemakanan dan kebersihan gigi. Jom baca perkongsian beliau.

Suatu pagi Jumaat sebaik sahaja aku ‘parking’ kereta di hadapan klinik, aku disapa oleh seorang perempuan muda.

“Ini doktor Azila ke?” Aku menjawab “ya, saya..”

Beliau bertanya lagi “Boleh jumpa doktor terus di klinik tak?”

Kepala aku ligat berfikir, seingat aku berderet temujanji aku pagi ini.

Maka aku jawab sambil tersenyum “Cik, boleh terus telefon klinik untuk temujanji”.

Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya pada aku.

Astaghfirullahalazim.. tergamam aku, terus aku cakap “Naik atas terus, saya periksa”

Setelah masuk di bilik surgeri, begini ceritanya. Ibu bapa muda ini memberitahu anaknya sakit gigi belah kanan atas mulai 3 hari lalu.

Kredit: Dr Azila

Gigi berlubang hingga mengenai saraf

Hari pertama

Mula-mula mereka membawa ke klinik gigi A. Setelah doktor tersebut memeriksa katanya ada gigi geraham susu yang berlubang besar.

Lubang sudah mengenai saraf, maka perlu buat rawatan saraf. Tetapi doktor tersebut tidak membuat rawatan saraf (pulpotomi) pada kanak-kanak.

Doktor klinik gigi A memberi ubat tahan sakit dan antibiotik.

a) Syrup Amoxycillin 3ml 3 kali sehari.

b) Syrup Paracetamol 3ml 3 kali sehari.

Hari kedua

Pada hari tersebut ibu bapa membawa anak ke klinik gigi B. Mereka mencari klinik gigi yang membuat rawatan saraf kanak-kanak iaitu pulpotomi.

Tidak pasti kenapa doktor tersebut tidak buat rawatan pulpotomi terus, kerana beliau memberi temujanji untuk rawatan pulpotomi. Aku berfikiran mungkin temujanji doktor tersebut penuh.

Doktor klinik gigi B memberi pula ubat tambahan :

a) Syrup Metronidazole 8ml 3 kali sehari.

Mereka pulang, tiba-tiba malamnya muka anak menjadi bengkak sebegini (rujuk gambar).

Bengkak sehingga ke membuatkan mata kanan sukar dibuka. (Kredit: Dr. Azila)

Umur pesakit 5 tahun. Kasihan sungguh, wajahnya.. pipi bawahnya bengkak sehingga tertarik kelopak mata kanan bawah. Tertutup mata kanan pesakit !

Keadaan ini didiagnosis sebagai “FACIAL CELLULITIS”.

Sesi soal siasat oleh doktor Azila dijalankan seperti biasa. Hasil temubual dengan ibu bapa adalah :

  1. Sering memberi makanan manis iaitu ‘k******y’ setiap pagi. Pesakit juga kerap makan makanan yang manis-manis belaka.
  2. Tidak mengamalkan rutin wajib memberus gigi anak setiap hari.
  3. Tidak membawa anak untuk jumpa doktor gigi secara berkala.

Kisah pesakit ini telah mendapat ‘consent’ ibu bapa untuk disiarkan.

Ini bertujuan memberi peringatan berguna buat ibu bapa lain supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, hanya kerana gigi tidak dibersihkan setiap hari dan pengambilan makanan manis.

Ramai ibu bapa tidak faham;

1. Tidak faham bahawa memberi makanan minuman manis adalah musuh utama mulut anak. Ini mengakibatkan gigi rosak.

2. Tidak faham bahawa bersihkan gigi anak itu penting. Jangan sampai gigi anak berkaries, mengadu sakit baru jumpa doktor gigi.

Adakah kita mahu anak kita berkeadaan sebegini? Kerana sikap kita yang sambil lewa gigi anak rosak, gusi bengkak kemudian muka bengkak.

Setelah aku berbincang dengan doktor Pakar Pergigian Kanak-Kanak,

Aku preskripsi;

a) Syrup Augmentin 5.3ml 2 kali sehari.

b) Syrup Paracetamol 5.3ml 4 kali sehari.

(Dos ubat – ubat yang diberi mengikut berat badan pesakit)

Di samping itu, Dr Azila telah menghentikan ubat yang diberikan doktor gigi sebelum itu serta merta di samping memastikan pemantauan berkala dalam tempoh 24 jam oleh ibu bapa.

“Selagi anak boleh makan dan minum, badan tidak menolak sebarang makanan dan minuman yang diberi secara oral, maka belum perlu pergi ke Bahagian Kecemasan Hospital.

“Pada “posting” akan datang, akan aku kongsikan ciri-ciri yang perlu dirujuk terus ke hospital,” kata beliau.

Pada hati ketiga, bengkak pada muka kanak-kanak tersebut mula surut.

“Gigi geraham susu yang menyebabkan bengkak tersebut, terpaksa aku cabut,” katanya.

Kenapa kena cabut gigi tersebut?

Menurut Dr Azila, gigi itu dicabut agar tidak menjadi punca jangkitan yang menyebabkan bengkak berulang kembali. Jika situasi tersebut berlaku, ia boleh membawa maut!

Kredit: Dr Azila

Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak kedalam otak. Keadaan dikenali sebagai SEPSIS.

Sepsis adalah keadaan dimana jangkitan disebarkan melalui darah disebabkan sistem pertahanan badan perlu bekerja lebih masa untuk melawan jangkitan.

Bahan kimia yang dikeluarkan dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetuskan tindak balas keradangan di seluruh badan sekali gus ia merosakkan sistem organ.

Malah sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian.

Apa kaitan Sepsis dan jangkitan gigi?

Apabila berlaku jangkitan gigi, ia boleh menyebabkan pulpa (gigi bahagian tengah) dijangkiti.

Pulpa ini adalah bahagian gigi yang mengandungi saluran darah, tisu penghubung dalam saraf besar.

Jika jangkitan berlaku, bakteria boleh keluar dari gigi ke tulang atau tisu bawah.

Tanda jangkitan dalam mulut

  • Nafas busuk.
  • Rasa pahit dalam mulut.
  • Demam.
  • Sakit gigi.
  • Gigi lebih sensitif.
  • Gusi bengkak.
  • Kelenjar bengkak pada leher.
  • Bengkak rahang.

Sekiranya anda atau anak anda mengalami tanda-tanda diatas, sila SEGERA ke hospital untuk rawatan yang sepatutnya.

Sumber: Azila Mohd Kasim

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.