Siakap Keli

Inkues Adib: Selepas 41 Hari Prosiding, Punca Sebenar Kematian Diketahui Esok

SHAH ALAM, 26 September (Bernama) – Selepas 41 hari prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan, esok adalah detik yang amat ditunggu pelbagai pihak apabila keputusannya akan diumumkan di Mahkamah Koroner di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Inkues, yang dimulakan pada 11 Feb lepas, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu adalah bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan  Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Prosiding inkues berkenaan dijalankan ekoran punca sebenar yang meragut nyawa wira bomba itu telah dieksploitasi pelbagai pihak.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti  dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Dis lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara  simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)