Siakap Keli
Gambar Bernama.

Syed Danial: Mahkamah Dengar Aduan Tertuduh Dipukul Polis 31 Okt Ini

KAJANG, 27 Sept (Bernama) — Mahkamah Majistret di sini menetapkan 31 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi mendengar aduan tertuduh kes bunuh seorang pegawai bank, Ogos lalu, bahawa dia dipukul anggota polis ketika dalam tahanan reman.

Majistret Nor Afidah Idris berkata, mahkamah akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah bagi memaklumkan kepada pihak pendakwaan mengenai aduan tertuduh, Yew Wei Liang.

Terdahulu, peguam S. Selvam, yang mewakili Yew, 41, seorang pekerja teknologi maklumat, memohon untuk mendapatkan notis itu sebelum anak guamnya memberikan keterangan bersumpah mengenai aduan berkenaan pada prosiding akan datang.

“Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan notis itu bagi membolehkan pendakwaan membantu mahkamah menjalankan siasatan berhubung aduan tersebut,” kata Nor Afidah ketika prosiding sebutan semula kes itu, hari ini

Pada 22 Ogos lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dalam satu kemalangan, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 10 Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selvam turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak mendapat rawatan susulan terhadap kesakitan yang dialami di bahagian rusuk kanan akibat kejadian itu.

Menurutnya, tertuduh mendakwa dipukul oleh dua anggota polis pada hari ketiga dalam reman dan cedera pada rusuk kanannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria dan Muhammad Hairuliqram Hairuddin, memberitahu mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan perubatan daripada Hospital Kajang yang telah dimohon pihaknya pada 10 Sept lalu.

Mahkamah turut memerintahkan pihak Penjara Sungai Buloh memberi rawatan sebaik mungkin kepada tertuduh selain pihak pendakwaan perlu membuat tindakan susulan untuk laporan berkaitan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.