Siakap Keli

2 Maut Dalam Kemalangan Libatkan 6 Kenderaan Di Lebuhraya PLUS

JOHOR BAHRU, 30 Sept — Dua maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 12.8 Lebuhraya Raya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata kemalangan yang melibatkan kenderaan Perodua Myvi, Honda CRV, Honda City, Volkswagen, Audi dan BMW itu berlaku pukul 1.15 pagi.

Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah seorang pemandu lelaki warga tempatan yang membawa Honda CRV, G.Thiyagarajan, 36, dan penumpang wanita warganegara India, S.Kathiresan, 35 tahun.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila pemandu Myvi yang dibawa oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, melanggar kenderaan mangsa dari arah belakang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Myvi yang dipandu lelaki berkenaan melanggar belakang Honda CRV dan apabila terhenti di tengah jalan, Honda City pula melanggar belakang Myvi.

“Kemudian kenderaan yang lain (Volkswagen, Audi dan BMW) turut melanggar kenderaan terbabit kerana terhenti akibat kemalangan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa yang maut kerana kecederaan di kepala, badan dan kaki itu dibawa ke Hospital Kulai manakala yang lain dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Ronnie Robert berkata pemandu lelaki yang maut itu dibawa naik oleh pihak bomba kerana terhumban ke dalam gaung sedalam 40 kaki.

Dalam satu kenyataan berasingan, sembilan anggota dan satu jentera dari BBP Tebrau dan Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan operasi tamat pada pukul 2.48 pagi.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.