Siakap Keli

FoodPanda: Kenyataan Syed Saddiq Bukan Pendirian Kerajaan – Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) –Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai syarikat penghantaran makanan dalam talian Foodpanda semalam bukan pendirian kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kenyataan tersebut adalah pendapat peribadi Syed Saddiq dan tiada sebarang perbincangan diadakan di peringkat Kabinet mengenai perkara itu.

“Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam Kabinet (dan ia) bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa membuat kenyataan tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai kenyataan Syed Saddiq semalam dalam catatan media sosial Twitternya bahawa sikap keangkuhan bukan jalan penyelesaian bagi menyelesaikan isu berkaitan Foodpanda.

Syed Saddiq turut meminta supaya hanya menyokong syarikat korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna.

Kenyataan Syed Saddiq tersebut susulan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das yang berkata syarikat itu akan mengekalkan skim pembayaran baharu untuk rider di luar Lembah Klang.

Skim pembayaran baharu itu telah mendapat bantahan dan respon negatif daripada rider Foodpanda.- BERNAMA

BACA: Syed Saddiq Anggap FoodPanda Angkuh, Pengguna Mula ‘Uninstalled’ Aplikasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.