Siakap Keli

Syed Saddiq Anggap FoodPanda Angkuh, Pengguna Mula ‘Uninstalled’ Aplikasi

Menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh pengurusan Foodpanda, pihak syarikat penghantaran makanan itu memutuskan untuk mengekalkan skim pembayaran baharu kepada “rider” di luar Lembah Klang untuk tempoh sekurang-kurangnya empat minggu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Walau bagaimanapun, keputusan itu telah menyebabkan rasa tidak berpuas hati dalam kalangan netizen yang rata-ratanya bertindak melancarkan boikot terhadap syarikat tersebut. Ruangan Twitter pada malam ini dipenuhi dengan ciapan yang memaparkan kebanyakan warganet yang telah memadam aplikasi berkenaan.

Dakwa segelintir netizen, tindakan boikot terhadap syarikat penghantaran makanan itu adalah untuk memprotes keputusan pengurusan yang memutuskan untuk mengekalkan skim pembayaran baharu sehingga pernah menyebabkan mogok dalam kalangan “rider”.

Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui akaun Twitternya berpendapat bahawa sesebuah syarikat korporat dibangunkan oleh pekerja dan pengguna dan ianya juga boleh dijatuhkan oleh pihak yang sama.

Menerusi ciapan tersebut, Syed Saddiq juga mengatakan bahawa keangkuhan bukanlah satu jalan penyelesaian yang boleh diambil. Menerusi keputusan tersebut, mogok yang dilancarkan oleh kebanyakan “rider” nampaknya tidak mengubah sebarang keputusan.

Di bawah skim baharu dilaksanakan di luar Lembah Klang yang merangkumi 30 peratus daripada 13,000 rider di seluruh negara, kadar sejam telah dimansuhkan tetapi bayaran bagi setiap pesanan telah dinaikkan antara RM4.50 kepada RM7 sejam, berbanding RM3 kepada RM5 sebelum ini.

Rider juga akan menerima tambahan RM1 setiap pesanan untuk semua pesanan antara 11 malam dan 9 pagi setiap hari, dan insentif RM100 apabila menamatkan 60 jam kerja seminggu.

Di Kuala Lumpur, rider masih mendapat gaji asas RM4 setiap jam dan antara RM3 dan RM5 setiap pesanan. Bayaran bagi setiap pesanan berbeza mengikut  “batch” (tahap prestasi)  setiap rider.

Sumber: Syed Saddiq, Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa