Siakap Keli
Kredit: Kicau Mania/Burung Cantik

Mahkamah Riuh, Murai Batu Berkicau

Salak Tinggi, 9 Okt – Ketegangan suasana di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini kendur seketika apabila 21 ekor burung murai batu menjadi perhatian petugas dan pengunjung apabila unggas ini berkicau ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen sebagai barang kes perbicaraaan seorang lelaki warga Indonesia.

Lelaki berkenaan, Patrum, 51, dihukum penjara 3 bulan dan denda RM30,000 atau penjara enam bulan atas tuduhan cuba menyeludup 23 ekor burung murai batu melalui penerbangan AirAsia di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pada kira-kira 3 petang Sabtu lepas.

Antara barang kes yang dibawa adalah sangkar khas yang dibuat dengan mencantum dua buah bakul.

Murai batu atau nama saintifiknya copsychus malabaricus merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Spesies ini mendapat permintaan tinggi di Indonesia kerana suaranya serta bulunya yang berwarna warni boleh dijual antara RM1,000 sehingga puluhan ribu bergantung kepada kemerduan suara dan kecantikan bulunya.

Dalam rayuannya, Patrum mendakwa dia tidak mengetahui bahawa perbuatan membawa spesies berkenaan keluar dari Malaysia merupakan satu kesalahan.

Patrum yang menggunakan visa pelancong memasuki Malaysia menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 60(2) akta berkenaan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dengan penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abd Aziz Mohd Yasin manakala Patrum diwakili peguam Zaflee Pakwanteh dan Low Henn Kai.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.