Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

11,050 Karton Rokok Tidak Sah Bernilai RM2.06 Juta Dirampas

Johor Bahru : Polis Marin mematahkan cubaan membawa 11,050 karton rokok tidak sah pelbagai jenis bernilai RM2.06 juta di tepi Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Supt Noor Azman Jamal berkata rampasan pada 3 pagi itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Khas PPM Bukit Aman yang turut dibantu Balai Polis Johor Jaya.

Katanya, rokok berkenaan dibawa dengan menggunakan sebuah lori Isuzu yang ketika itu sedang dalam perjalanan dan dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

”Pihak polis berjaya memintas dan menahan lori berkenaan dan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Altis yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun, dipercayai turut terlibat dalam kegiatan ini.

”Hasil pemeriksaan, kita menemui 221 kotak yang berisi 11,050 karton rokok tidak sah di dalam lori berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Noor Azman berkata keseluruhan rampasan termasuk aset dan rokok adalah bernilai RM2.1 juta.

Menurutnya, dipercayai rokok berkenaan diseludup dari negara jiran dan dipasarkan untuk pasaran tempatan.

”Mereka yang ditahan ini disyaki merupakan ‘tonto’. Namun, kita masih menyiasat sejak bila kegiatan ini aktif,” katanya.

Noor Azman berkata kes berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Seri Alam dan permohonan reman kedua-dua suspek akan dilakukan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada kastam.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.