Siakap Keli

Mydin Lancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia, Dengan Tema “Ini Malayasia Punya”

MYDIN tampil dengan inisiatif terbaharunya melalui kempen Buy Malaysian, Made By Malaysian dengan tema “Ini Malaysia Punya” dalam menyokong usaha kerajaan bagi memperkasa produk-produk tempatan buatan Malaysia.Kempen ini dianjurkan sejajar dengan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

MYDIN selaku pemborong dan peruncit tempatan terkemuka yang berteraskan konsep halal melihat peluang ini sebagai platform untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri usahawantempatan dan mempertingkat kesuburan ekonomi negara. MYDIN merupakan medium pemasaran produk-produk barangan Malaysia mengambil tanggungjawab bagi memberi kesedaran tentang meningkatkan keyakinan umum supaya mendahulukan produk tempatan ketika berbelanja.

Memperkasa ekonomi negara melalui sokongan pembelian produk tempatan sewajarnya dilihat sebagai satu pendekatan kemakmuran bersama. Inisiatif yang dizahirkan oleh kerajaan merupakan usaha dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun secara mampan dengan masyarakat yang mempunyai diversiti kaum dan produk hasil mereka yang
perlu diketengahkan.

Kempen yang dianjurkan ini turut bertujuan menyemai sifat patriotisme dalam kalangan setiap rakyat negara ini dengan menyokong produk-produk halal tempatan. Produk- produk buatan Malaysia terbukti mempunyai kualiti dan hasil yang baik dan mampu bersaing sebaris dengan jenama-jenama produk antarabangsa yang lain. Peluang ini harus diambil semua pihak dalam membina jenama dan memasarkan produk tempatan yang terbaik ke persada asing agar industri tempatan kekal berdaya saing.

Pelbagai aktiviti menarik dan program ilmiah direncanakan sepanjang kempen yang bermula 18 Oktober 2019 antaranya program bimbingan perniagaan (Business Coaching) mengenai perniagaan dalam memberi input dan idea kepada usahawan tentang proses memulakan dan memasarkan sesuatu produk yang dihasilkan. Selain itu usahawan belia yang mula berjinak
dalam dunia Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan diberikan peluang berkongsi tentang produk mereka melalui pertandingan “SMEs Pitching”.Pelbagai ganjaran dan insentif akan ditawarkan buat mereka yang berpotensi meyakinkan juri dengan produk keluaran mereka.

Di samping itu, ruang-ruang pameran dan jualan juga dibuka untuk usahawan baharu dan usahawan ternama bagi memperkenal dan memasarkan produk mereka kepada pengunjung dan pelanggan MYDIN. Pelanggan berpeluang merasai dan berkongsi pendapat dengan pengeluar produk-produk tempatan agar lebih yakin berkenaan kualiti dan hasil mereka. MYDIN turut
meletakkan label “Ini Malaysia Punya” pada rak-rak pameran produk-produk buatan tempatan sebagai usaha menyokong usaha kerajaan dan industri produk tempatan di semua Pasar Raya MYDIN di seluruh negara.

MYDIN optimis sokongan yang diberikan kepada kerajaan ini mampu meningkatkan industri perniagaan tempatan dan membuka peluang kepada para usahawan baharu lebih kehadapan. Pemain industri tempatan juga seharusnya mengambil peluang ini membantu ekonomi tempatan dan masyarakat dengan menghasilkan produk yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Semoga dasar kerajaan dengan hala tuju Kemakmuran Bersama ini dapat membantu setiap genap lapisan masyarakat di negara ini agar lebih maju dan harmoni.

Zetty Amelia