Siakap Keli

Hadiah Deepavali Terbaik Buat Sivasangari Dalam Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur, 27 Okt – Ia adalah hadiah Deepavali terbaik bagi jaguh skuasy wanita negara, S. Sivasangari apabila dia berjaya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Mesir pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Pemain berusia 20 tahun ini yang mengejutkan pemain ranking kelapan dunia, Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam pusingan pertama, mempamerkan satu lagi aksi cemerlang dengan menumpaskan pemain ke-29 dunia, Milou Van Der Heijden dari Belanda;  11-4, 6-11, 12-10 dan 11-9 dalam pusingan kedua yang diadakan di Shooting Club, 6th of October City, Mesir.

“Saya rasa yakin selepas menewaskan Amanda (Sobhy) dalam pusingan pertama, yang pasti Milou adalah pemain yang bagus dan telah bermain dengan baik, jadi saya perlu fokus setiap perlawanan dan setiap mata satu demi satu,” kata Sivasangari dipetik sebagai berkata dalam laman web Persatuan Skuasy Profesional (PSA) www.psaworldtour.com.

Mengenai perlawanan seterusnya menentang pemain ke-11 dunia, Hania El Hammamy, Sivasangari berkata mereka telah banyak kali bertemu dalam pelbagai pertandingan di peringkat kejohanan remaja dan beliau mengintai satu lagi kemenangan menentang pemain muda Mesir itu.

Hania, pemain pilihan ke-14 berjaya mara selepas menewaskan pemain pilihan ke-27, Donna Lobban dari Australia; 11-6, 11-8 dan 11-9 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Sementara itu, pemain skuasy lelaki utama negara, Ng Eain Yow turut melepasi pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Terbuka Mesir yang diadakan di venue sama selepas menerima tentangan hebat daripada pemain Jerman, Raphael Kandra; 11-8, 11-6, 6-11, 6-11 dan 11-6 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung kira-kira sejam.

Eain Yow dijangka bertemu Baptiste Masotti dari Perancis dalam pusingan ketiga pada Isnin selepas pemain Perancis yang tidak dikenali itu, mengejutkan pilihan kelapan, Miguel Rodriguez dari Columbia; 11-7, 11-8 dan 11-6 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)