Siakap Keli
Gambar: Google

Bakal Berentap Di MotoGP Sepang Esok, 6 Perkara Menarik Mengenai ‘El Pescao’ Perlu Anda Tahu

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan seorang pelumba negara yang telah mencipta nama dalam saingan arena permotoran dunia ini iaitu Hafizh Syahrin.

Seperti yang diketahui, untuk terpilih menjadi seorang pelumba mewakili pasukan dalam MotoGP bukan lah senang seperti yang disangka. Hanya yang layak sahaja akan dipanggil oleh pasukan-pasukan ternama ini.

Nama Hafizh Syahrin ini telah banyak menjadi bahan bualan di antara kita kerana beliau merupakan warganegara Malaysia yang pertama dapat bersaing di kelas tertinggi arena permotoran dunia iaitu MotoGP.

Pasti ramai yang tidak tahu bagaimana Hafizh Syahrin boleh sampai ke tahap tersebut, serta dari mana datangnya Hafizh Syahrin ini bukan?

Melalui satu penulisan yang telah ditulis oleh MotoGP Mania Malaysia ada menceritakan mengenai serba serbi Hafizh Syahrin. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisannya seperti berikut:

Dah tahu mengenai latar belakang Hafizh Syahrin? Jom kita kenali Hafizh!

Gambar: Australian Motorcycle Grand Prix

1. Dikenali sebagai El Pescao atau BO55KU. Hafizh Syahrin adalah anak kelahiran Selangor, lahir pada 5 Mei 1994. Hafizh Syahrin kini bersama pasukan Red Bull KTM T ech 3.

2. Merupakan pelumba pertama negara yang berjaya ke kelas MotoGP. Bukan sahaja pelumba pertama negara, malah yang pertama di Asia Tenggara ke MotoGP!

3. Mula berkecimpung dalam sukan dua roda seawal 9 tahun. Bermula dengan ‘pocket bike’, dan diberi gelaran ‘King of Pocket Bike’.

4. Penampilan pertama Hafizh adalah dalam Cub Prix (2007). Hafizh berjaya menamatkan musim ditempat kedua keseluruhan dalam kategori Yamaha LC135 Cup. Tahun berikutnya Hafizh Syahrin berlumba dengan pasukan Petronas Sprinta Raceline, dan terus berjaya menjadi pelumba termuda meraih podium – Tempat ketiga keseluruhan Yamaha Givi Cup 2008.

5. Di usia 16 tahun, Hafizh Syahrin menjadi juara paling muda dalam kategori CP130 – Asia Road Racing. Oh, tidak berhenti disini! Kemenangan ini memecahkan rekod Norizman Ismail yang menjadi juara kategori tersebut di usia 20 pada tahun 2005.

6. Hafizh Syahrin ke kelas 600cc SuperSport Asia Road Racing dan berjaya menamatkan musim tersebut di tempat ke-12 dari 39 pelumba. Tahun berikutnya, Hafizh menamatkan musim di tempat ke-4 yang membuka ruang untuk Hafizh bertanding dalam CEV Moto2 series.

Ke Kelas Moto2

Gambar: IG Hafizh_syahrin

Hafizh Syahrin membuat penampilan pertama dalam Kejuaraan Moto2 di Sepang pada tahun 2011 sebagai pelumba ‘wildcard’. Sekali lagi Hafizh diberi peluang untuk menjadi pelumba wildcard pada tahun seterusnya, dan Hafizh berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 di Sepang.

Siapa yang berada di Litar Sepang pada masa ini, pasti ingat akan kemeriahannya. Gamat litar Sepang apabila Zulfahmi Khairuddin meraih podium, dan Hafizh Syahrin bersaing sengit bersama kelompok hadapan. Memang syok habis!

Dan disebabkan prestasi yang baik, Hafizh berjaya mendapat tempat untuk beraksi penuh dalam kejuaraan Moto2 tahun 2014. Jom kita tengok kronologi ini:

Gambar: Google

1. 2017: Moto2 World Championship (ke-10 – 106 mata)

2. 2016: Moto2 World Championship (ke-9 – 118 mata)

3. 2015: Moto2 World Championship (ke-16 – 64 mata)

4. 2014: Moto2 World Championship (ke-19 – 42 mata)

5. 2013: Moto2 World Championship (ke-28 – 1 mata / 4
perlumbaan)

6. 2012: Moto2 World Championship (ke23 – 16 mata / 1
perlumbaan) / CEV Moto2 (ke-6 – 55 mata)

7. 2011: Moto2 World Championship (0 mata / 1
perlumbaan)

Pelumba pertama di Asia Tenggara ke Kelas MotoGP

Gambar: Okezone Sports

Dalam sibuk dengan persediaan bersama pasukan Moto2 Petronas Sprinta Racing, tahun 2018 Hafizh diberi peluang untuk menggantikan tempat Jonas Folger di MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech 3. Peluang sekali seumur hidup! Hafizh Syahrin tidak sia-siakan kepercayaan yang diberikan, dan menamatkan musim 2018 di tempat ke-16 daripada 28 pelumba. Hanya 4 mata sahaja yang membezakan Hafizh dengan Franco Morbidelli – yang dinobatkan sebagai ‘Rookie of the Year’ musim lepas.

KTM Tech 3

Gambar: Google

Musim 2019, pasukan Tech 3 beralih dari jentera Yamaha M1 ke jentera KTM. Pasukan tersebut kemudian dikenali sebagai Red Bull KTM Tech 3. Hafizh Syahrin berlumba bersama rakan sepasukannya, Miguel Oliveira.

Carta Kejuaraan MotoGP 2019 (setakat di AustralianGP):
• Pol Espargaro: 11 (89 mata)
• Miguel Oliveira: 17 (33 mata)
• Hafizh Syahrin: 23 (8 mata)

Namun begitu, Johann Zarco mengejutkan dunia beberapa minggu lepas apabila Zarco membuat keputusan untuk menamatkan kontrak bersama KTM musim ini kerana tidak berjaya menunjukkan prestasi yang baik bersama pasukan tersebut.

Jadi, di mana salahnya?

Seperti yang kita tahu, jentera KTM adalah jentera yang baru dan masih dalam proses penambah baikkan. Banyak data yang perlu diambil kira untuk menjadikan jentera KTM kompetitif seperti Honda, Yamaha dan sebagainya. KTM membuat penampilan awal untuk kelas MotoGP pada tahun 2017. Walaupun masih baru, tahun 2018 di ValenciaGP, Pol Espargaro berjaya mendapat tempat ke-3 di Litar Valencia dalam keadaan cuaca hujan!

Kenali KTM RC16

Gambar: Google

1. KTM RC16 menggunakan enjin jenis ‘V4’ dan menggunakan chassis ‘steel-frame’, manakala jentera lain menggunakan chassis ‘aluminium-beam-frame’. Penggunaan chassis ‘steel-frame’ ini menyebabkan cara pengendalian jentera KTM lebih keras dan sukar berbanding chassis aluminium.

2. KTM juga menggunakan sistem suspensi sendiri iaitu ‘WP’ (WP Suspension) manakala pasukan lain menggunakan sistem suspensi ‘Ohlins’.

3. Dalam kata lain, KTM yakin dengan jurutera dan teknologi yang mereka ada, tetapi untuk menjadi yang terbaik bukanlah ambil masa yang sekejap. Kejayaan tidak akan datang bergolek!

Gambar: Google

Kalau kita lihat, Pol Espargaro dan Miguel Oliveira menujukkan prestasi yang lebih baik bersama KTM berbanding Johann Zarco dan Hafizh Syahrin. Mungkin kerana cara tunggangan Pol lebih agresif, sesuai dengan jentera KTM. Manakala Oliveira pula sudah biasa dengan KTM dari kelas Moto2 lagi.

Johann Zarco terkenal dengan cara tunggangan yang lebih cermat, jadi Zarco agak susah hendak menyesuaikan cara tunggangannya dengan KTM. Hafizh Syahrin juga setuju KTM lebih keras berbanding dengan Yamaha M1, dan memang memerlukan tunggangan yang agresif.

Tetapi, dalam kesusahan untuk menyesuaikan cara tunggangan dan memahami jentera KTM, Hafizh tidak mengalah malah berjaya mengumpul mata dalam perlumbaan.

Gambar: Google

Jadi, sebagai peminat sukan dua roda, marilah kita memberi sokongan penuh kepada atlet negara kita. Walaupun pelbagai kecaman yang dilemparkan, Hafizh tetap bangkit demi mengharumkan nama Malaysia. Hala tuju Hafizh Syahrin musim hadapan sudahpun terjawab.

Teruskan memberi sokongan kepada Hafizh Syahrin supaya Hafizh terus fokus untuk beraksi dengan baik sehingga habis musim 2019! Jom ramai-ramai datang ke Sepang dan tunjukkan sokongan kepada Hafizh Syahrin dan pelumba tanah air!

Bak kata pepatah, “Jika Tidak Mampu Menyokong Ketika Kalah, Jangan Bersorak Ketika Menang”

Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai MotoGP, boleh ikuti page:

@MotoGPManiaMalaysia
@MotortvMY
@MMM Garage

Atau boleh ikuti lamanweb www.motortvmy.com.

Sumber: MotoGP Mania Malaysia

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.