Siakap Keli
Gambar : hot-gaming.com

37 Maut Dalam Serangan Ke Atas Konvoi Pekerja Lombong Di Burkina Faso

Trenton : Satu serangan ke atas konvoi yang dalam perjalanan ke sebuah lombong emas milik syarikat Kanada di Burkina Faso pada Rabu telah menyebabkan 37 orang maut manakala lebih 50 lagi cedera, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Semafo, syarikat perlombongan emas dari Montreal yang memiliki Lombong Boungou, berkata serangan berlaku kira-kira 40 kilometer (25 batu) dari lombong itu.

Ketika kejadian, anggota tentera mengiringi lima bas yang membawa pekerja Semafo serta para kontraktor dan pembekal.

Syarikat itu berkata lombong tersebut selamat dan operasinya tidak terjejas.

Laporan menyebut selepas sebutir bom buatan sendiri meletup, beberapa lelaki bersenjata yang tidak dikenali mula bertindak melepaskan tembakan.

”Pihak syarikat ingin menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa selain sokongan padu terhadap pasukan keselamatan Burkina Faso,” menurut Semafo dalam satu siaran akhbar.

“Kanada mengutuk serangan ke atas konvoi pekerja syarikat perlombongan Kanada iaitu Semafo, yang turut menyasarkan pasukan keselamatan yang melindungi mereka,” kata Angela Savard, jurucakap bagi Global Affairs Canada.

Dalam perkembangan lain, saham Semafo jatuh hampir 9 peratus di Bursa Saham Toronto.

Semafo turut mengendalikan lombong F di Burkina Faso.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.