Siakap Keli
Gambar: Regional Kompas

Dipercayai Hanya Tak Dapat Rokok, 2 Lelaki Didakwa Belasah, Bakar Kawan Hidup-Hidup

Hanya kerana tidak diberi rokok, dua lelaki di Semarang, Indonesia didakwa membakar rakannya sendiri.

Kedua-dua lelaki tersebut yang masing-masing berumur 26 dan 27 sanggup membakar rakannya yang berumur 40 tahun itu.

Hal itu terjadi hanya kerana mangsa dipercayai tidak memenuhi permintaan kedua-dua tertuduh.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh cuba meminta rokok daripada mangsa. Namun pada ketika itu, mangsa telah memberitahu pada tertuduh bahawa dia tidak mempunyai rokok.

Tertuduh kemudiannya menyuruh mangsa untuk pergi membelinya di sebuah warung. Walau bagaimanapun warung yang dituju mangsa itu tutup.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh bersama mangsa sudah lama berkawan.

Mangsa yang kembali dengan tangan kosong telah membuatkan salah seorang daripada tertuduh itu berang. Susulan daripada itu, tertuduh dipercayai bertindak memukul mangsa pada bahagian kepala sebanyak lima kali serta menendang di bahagian perut mangsa sebanyak sekali.

Akibat terlalu ikutkan emosi, tertuduh didakwa bertindak mengambil minyak petrol dan menyiramkannya ke tubuh mangsa lalu menyalakan api pada pakaian mangsa.

Mangsa yang meraung kesakitan bertindak menghumbankan dirinya ke dalam sungai di sekitar lokasi kejadian untuk memadamkan api yang sedang menyambar dirinya itu.

Susulan daripada kejadian itu, mangsa telah dikejarkan ke hospital. Dia telah dirawat selama hampir dua minggu di Hospital Sultan Agung Semarang akibat melecur.

Keadaan mangsa walau bagaimanapun dilaporkan telah beransur pulih namun masih ada kesan melecur pada tubuhnya. Kedua-dua tertuduh kini berada di bawah tahanan pihak polis dan sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.

Sumber: Tribun News

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.