Siakap Keli
Gambar Hiasan: Bernama

Sijil Mati & Surat Nikah Je Tak Cukup Nak Keluar Duit Arwah, Wanita Kongsi Kepentingan Ada Penama KWSP

Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa meletakkan penama dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah suatu benda yang penting.

Ini kerana, secara lazimnya ramai yang beranggapan bahawa duit di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tersebut akan diwariskan kepada pewaris yang sah secara automatik.

Hal ini sebenarnya tidak betul kerana, segala proses tuntutan yang dibuat di KWSP perlu dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Seorang pengguna Facebook bernama Siti Zainab Abd Raof ada berkongsikan tentang kepentingan menamakan penama dalam akaun KWSP. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Gambar hiasan

“Saya nak keluarkan duit EPF arwah suami saya.Nahh ini dia sijil kematian suami saya.”

“Boleh tunjukkan surat kuasa jika nak keluarkan duit arwah suami?”
Tanya pegawai yang bertugas di kaunter.

“Kenapa perlu surat kuasa pulak tuan. Bukankah arwah suami saya meletakkan nama saya sebagai penama EPF beliau?”
Soalan dibalas dengan soalan.

“Mengikut dalam sistem kami, arwah suami puan tidak pernah meletakkan sebarang penama untuk akaun EPF beliau.”

“Apa? Kenapa macamtu pulak. Sijil kematian dan surat nikah ni tak cukup kuat ke bukti untuk saya keluarkan duit arwah?”
Tanya balu tersebut sambil menangis teresak-esak.

Gambar: FB Siti Zainab Abd Raof

“Maaf puan. Ini prosedur standard mana-mana institusi kewangan. Jika berlaku kematian tanpa penama, kami memerlukan surat kuasa Probate jika berwasiat atau LA (letter of admin) jika tidak berwasiat. Barulah duit yang di dalam akaun pencarum akan dapat dikeluarkan.”

Panjang lebar pegawai tersebut menerangkan.

Ini salah satu risiko yang bakal berlaku sekiranya pencarum EPF tidak mengemaskini penama akaun mereka. Tambahan pula, jika penama meninggal dahulu sebelum pencarum.

Surat kuasa

Korang tahu tak surat kuasa tu menatang apa?

Sila ingat ya. Sijil kematian dan permit pengebumian saja tidak LAKU untuk membuat pentadbiran harta pusaka.

Berlaku saja kematian dan setelah didaftarkan kematian tersebut, maka terbekulah segala harta dan aset si mati.

Jadi, semua institusi kewangan (harta alih) dan pejabat tanah (harta tak alih) akan minta surat kuasa jika waris hendak menuntut harta tersebut.

Senang ke tak nak dapatkan surat kuasa tersebut?

Senang tapi tak mudah juga sebenarnya.

Senang jika waris bekerjasama untuk sama-sama turun semasa hari bicara di pejabat pusaka kecil.

Tak nak turun? Boleh saja. Tunjukkan borang DDA (dicop pesuruhjaya sumpah) dan dinyatakan siap-siap bagaimana pembahagian harta samada muafakat atau faraid.Kalau nak tolak bahagiannya pun kena nyatakan juga.

Harta simati melebihi 2 juta yang lagi haru.
Masalah tau!

Terus nak kena tadbir melalui mahkamah tinggi tau. Kena ada dua orang penjamin yang harta mereka bernilai melebihi 2 juta jugak. Kos siapa nak tanggung? Waris ler. Payah jugak kan.

Nak senang cerita,semasa hidup ni buatlah perancangan siap-siap ke atas harta kita guys.

Buatlah perlantikan pentadbir harta supaya pabila kita meninggal kelak, harta dapat ditadbir dengan cepat.

Penama

So guys, Sis nak bagi pesanan khidmat masyarakat ni. Sila check semula penama EPF kalian. Begitu juga penama di institusi kewangan lain seperti insurans/takaful, TH dan juga akaun ASB.

Kemaskini jika penama sudah meninggal. BIG NO! Jangan meletakkan penama anak-anak yang di bawah umur 18 tahun.

Anak-anak tiada kuasa pun nak mentadbir harta tersebut selagi tak berumur 18 tahun.

Tapi, harus diingat. Penama hanya berfungsi sebagai pemegang amanah sahaja. Pembahagian wang epf tersebut masih perlu dibahagi mengikut faraid atau muafakat waris.

Itu belum lagi masuk cerita akaun simpanan bank,pelaburan yang tidak mempunyai fungsi penama. Rumah, kereta, tanah dan lain-lain. Jadi, masih memerlukan surat kuasa untuk mentadbir harta pusaka tersebut.

Jadi, jom bertindak sekarang.

Sumber: Siti Zainab Abd Raof

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.