Siakap Keli
Gambar: Google

Suami Isteri Maut, Dua Anak Selamat Dalam Kemalangan Di Kapit

KAPIT, 13 Nov (Bernama) — Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka terselamat apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terhumban dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Jiwa Murni, Mujong dekat sini hari ini.

Kedua-dua mangsa ialah Lucy Anak Bekeh, 38, yang memandu kenderaan tersebut dan suaminya Guntor Anak Dampa, 43, yang duduk di tempat penumpang hadapan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian, dua anak lelaki mangsa yang terselamat ialah Eldickson Linggong Anak Guntor, 16, dan Rizky Renggan Anak Guntor, berusia lapan tahun.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari pekan Kapit menuju ke rumah panjang kediaman mereka di Rumah Badin, Nanga Aman, Mujong.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke sebelah kanan. Akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang depan telah tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp malam ini.

Menurutnya, dipercayai kedua-dua mangsa tidak memakai tali pinggang keledar semasa kejadian.

Anak mereka Eldickson cedera ringan manakala adiknya Rizky tidak cedera.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kejadian itu pada 4 petang.

Beliau berkata operasi mengeluarkan mangsa dari gaung sedalam 60 meter dan kecerunan 75 darjah itu tamat pada 5.30 petang.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right