Siakap Keli

(Video) Detik-Detik Kekok Elon Musk, Cermin Trak Canggih Kalis Peluru Pecah Ketika Ujian ”Live”

Tesla baru-baru ini telah melancarkan sebuah trak moden yang futuristik dalam satu acara yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Begitupun, dalam acara yang sepatutnya menjadikan ciri-ciri serba canggih pada trak tersebut sebagai tumpuan, bertukar  apabila cermin sisi yang dikatakan kalis peluru pecah ketika dalam ujian yang dijalankan di depan media.

Malah, pemilik kepada syarikat Tesla, Elon Musk juga kelihatan terkejut dan kekok dengan hasil ujian tersebut.

Musk ketika di pentas pelancaran tersebut memaklumkan antara ciri-ciri yang terdapat pada trak tersebut adalah cermin kalis peluru yang mampu menahan tembakan pistol 9mm.

Bagaimanapun ketika ujian lontaran bola besi yang disasarkan pada cermin berkenaan oleh Ketua Pereka Tesla, tidak semena-mena cermin sisi berkenaan pecah. Malah ujian kali kedua pada bahagian sisi cermin yang lain turut memberikan hasil yang sama.

 

”Oh Tuhan. Mungkin lontaran itu sedikit kuat”, kata Musk spontan dalam keadaan terkejut.

”Kami membaling spanar, tukul dan macam-macam lagi termasuklah singki pada cermin sisi jenis ini sebelum ini tetapi tidak pecah. Tetapi sekarag, pecah pula.

”Saya tidak tahu mengapa, tapi kami akan melihatnya semula,” katanya lagi sambil ketawa.

Tidak dapat dipastikan sama ada ujian lontaran tersebut memang sepatutnya memberikan hasil yang sedemikian, bagaimanapun dari reaksi yang ditunjukan oleh Musk, rata-rata media berpendapat beliau sendiri tidak menjangkakan hasil seperti itu.

Dikenali sebagai Cybertruck, model terkini Tesla itu dijual pada harga bermula USD 39,900. Walaupun berlaku ‘bencana’ ketika pelancaran, The Guardian melaporkan trak berkenaan sudahpun mendapat tempahan sebanyak 150,000 unit.

 

Sumber: CNBC, The Guardian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.