Siakap Keli

Sehari Sebelum Meninggal, Bintang KPOP Goo Hara Sempat Naik Gambar Dan Ucapan Terakhir

Kematian bekas anggota kumpulan K-pop wanita terkenal Korea Selatan, Goo Hara, di kediamannya di Cheongdam, selatan Seoul, semalam, ternyata mengejutkan ramai.

Sehari sebelum ditemui meninggal dunia, penyanyi berusia 28 tahun itu juga sempat memuat naik sekeping gambar di Instagram miliknya berserta ucapan ‘selamat malam’ yang terakhir.

Difahamkan, Hara yang berada di Jepun pada 14 hingga 19 November, baru sahaja pulang dari melakukan ‘comeback’ di negara matahari terbit itu untuk solo terbarunya.

Insiden ini dikatakan susulan kepada percubaan membunuh diri di kediamannya pada bulan Mei lalu, kerana beliau berdepan dengan masalah kemurungan yang teruk.

Selepas sebulan mendapatkan rawatan di hospital, beliau pernah menyatakan pandangannya mengenai kejadian buli siber dan merayu orang ramai supaya memuat naik mesej positif di media sosial.

Beliau juga berkata semakin pulih dan berjanji kepada peminat untuk terus kuat dan menjaga kesihatan dengan baik.

Goo Hara mula memulakan kerjaya seni pada 2008 selepas album bersama empat lagi anggota kumpulan Kara dilancarkan.

Kumpulan itu meraih ramai peminat dan membentuk gelombang K-pop di seluruh dunia, terutama di Jepun dan China sebelum Hara mula bergerak sebagai penyanyi solo pada tahun 2015.

Bulan lalu, rakan artis yang juga merupakan rakan rapat, Hara, Choi Jin Ri atau lebih dikenali sebagai Sulli ditemui mati bunuh diri dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan, akibat masalah buli siber.

https://www.instagram.com/p/B3mkwy7Fc2C/

Masalah tekanan mental sering berlaku dalam kalangan selebriti Korea termasuk mereka yang terkenal, malah beberapa selebriti di sana meninggal dunia akibat bunuh diri seperti Jang Ja Yeon (Boys Over Flower), Kim Jong Hyun (Shinee) dan Sulli (F(x)).

Sekiranya anda atau orang yang anda kenali menghadapi tekanan perasaan, sila dapatkan bantuan atau hubungi Befrienders di talian 03-7956 8145.

Sumber : Daily Mail

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra