Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Satu Maut, Dua Cedera Dalam Kemalangan Lima Kenderaan Di Pedas Linggi

Seremban : Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan yang melibatkan empat kenderaan dan sebuah motosikal di kilometer 234.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur keluar Pedas Linggi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan DSP Shaifulizan Sulaiman berkata dua kanak-kanak yang merupakan penumpang sebuah kereta turut mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan kira-kira pukul 1.15 pagi itu.

”Mangsa yang maut di tempat kejadian berumur 22 tahun manakala kanak-kanak iaitu seorang perempuan dan lelaki yang cedera pula berusia setahun dan dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal berkenaan hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun, di lorong tengah lebuhraya.

Ekoran itu katanya, penunggang motosikal berkenaan kemudiannya terjatuh sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun yang berada di lorong sama dan gagal mengelak.

Beliau berkata semua yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.