Siakap Keli
Gambar hiasan

Dua Individu Didenda 25 Juta Baht Di Thailand Kerana Langgar Peraturan Hak Cipta Liga Premier

BANGKOK, 3 Dis (Bernama) — Dua pengendali penstriman haram diperintahkan membayar ganti rugi lebih 25 juta baht kerana melanggar peraturan hak cipta Liga Premier Inggeris di Thailand.

Kedua-dua mereka seorang lelaki warganegara British berusia 42 tahun dan seorang wanita rakyat Thai berumur 36 tahun, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Thailand, Jumaat lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 29 (3) dan Seksyen 69 Akta Hak Cipta (melanggar peraturan hak cipta dengan menyiarkan untuk keuntungan komersial dan memintas langkah-langkah perlindungan teknologi).

Selain daripada itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Jenayah Berkaitan Komputer (memintas data) dan Seksyen 66 Akta Penyiaran dan Televisyen (menjalankan perniagaan penyiaran tanpa kebenaran) dan Seksyen 70 (mengimport, menjual, menawarkan untuk menjual atau memasang set kotak atas untuk melanggan penyiaran) dan Akta Perniagaan Asing (menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan ke atas warga asing).

Panel tiga hakim yang diketuai Payon Chuichai memerintahkan kedua-dua mereka membayar ganti rugi yang besar berjumlah 15 juta baht selain daripada hampir 7 juta baht dalam wang yang dirampas kerajaan.

Mahkamah juga memerintah mereka membayar lebih 3 juta baht dan tidak dipenjarakan tetapi tidak boleh mengulangi kesalahan yang sama dalam tempoh tiga tahun setengah bagi jenayah berkaitan menjalankan operasi secara haram.

Pada Mei 2017, Jabatan Siasatan Khas Thailand dan dibantu Liga Premier menahan dua lelaki British dalam siri serbuan besar-besaran di sebuah kediaman di Bangkok. Seorang wanita Thai tempatan ditahan kemudian.

Bagaimanapun, seorang daripada warga British yang diberkas itu melanggar jaminan dan waran tangkap telah dikeluarkan ke atasnya  juga ke atas beberapa suspek lain.

Dalam satu kenyataan, Liga Premier berkata defendan mengaku bersalah kepada  pelbagai kesalahan yang timbul daripada membekalkan penyiaran haram, termasuk mengendalikan satu rangkaian cetak rompak utama seluruh Asia.

Ia berkata pelbagai laman sesawang yang diuruskan dari Bangkok di bawah sepanduk ThaiExpat.tv dan domain gabungan, menyediakan akses kepada strim perlawanan Liga Premier yang tidak sah di seluruh Asia Tenggara termasuk Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

“Mereka juga bertanggungjawab menjual peranti penstriman haram, yang sudah siap dimuat turun dengan aplikasi yang membolehkan penyiaran program bola sepak Liga Premier,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Perundangan Liga Premier Kevin Plumb berkata kes ini adalah satu daripada pampasan terbesar untuk jenayah berkaitan cetak rompak di Thailand dan merupakan  amaran keras kepada sesiapa yang terlibat dalam pembekalan strim haram Liga Premier.

“Sikap dan penerimaan terhadap pengendali seperti ini di Asia sudah berubah, yang merupakan berita baik untuk peminat yang menonton kandungan Liga Premier menerusi saluran yang sah.

Mereka yang tidak sependapat, sepatutnya sedar melanggan perkhidmatan yang dijalankan oleh kumpulan jenayah terancang bermaksud mereka berhadapan risiko, bukan sahaja kandungan siaran hilang apabila perkhidmatan itu tergendala oleh tindakan undang-undang tetapi juga mendedahkan mereka kepada ancaman penipuan dan perisian hasad,” katanya.

Beliau berkata Liga Premier komited untuk memburu semua yang terlibat dalam menyediakan akses  haram kepada kandungan program liga itu dan gembira kerana mahkamah dan pendakwa raya kerana menyedari dan menyokong kepentingan memerangi cetak rompak.

“Jabatan Siasatan Khas Thailand, ialah satu daripada pasukan anti cetak rompak utama yang kami bekerjasama dan kami berterima kasih kepada mereka dan pendakwa raya kerana sokongan mereka dalam melakukan pendakwaan ke atas kes ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.