Siakap Keli
Kredit: Adam Aqem

Lelaki Meninggal Dunia Terkena Renjatan Elektrik Ketika Harungi Banjir

PASIR MAS, 4 Dis (Bernama) — Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika mengharung banjir di depan rumahnya di Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Anak mangsa, Mohd Zunaidi Mohd Zulkifli, 27, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, bapanya, Mohd Zulkifli Yacob, 51, mengharung air banjir sedalam kira-kira 1 meter dan dikatakan mahu mengambil buah nona di sebatang pokok yang terletak 10 meter dari rumahnya.

“Arwah ayah dikatakan berpaut pada tiang elektrik sebelum terkena renjatan. Saya ketika itu tidak berada di rumah terus bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu.

“Ketika tiba di rumah, saya lihat jasad ayah terbaring di atas jalan dan dikerumuni penduduk kampung. Mereka beritahu ayah sudah tiada dan menghubungi polis dan bomba untuk bantu bawa keluar jenazah kerana kawasan kampung terkepung oleh air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan keadaan banjir, jenazah ayahnya terpaksa diusung sejauh 1 kilometer dan dibawa menaiki jentera berat milik Pasukan Mencari dan menyelamat Khas Malaysia (SMART Team) untuk dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Katanya, jenazah bapanya mungkin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Deh kerana tanah perkuburan terdekat telah ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan agensi berkaitan berhubung kematian mangsa.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.