Siakap Keli
Gambar: whatsyourshare.ca

Kanak-Kanak Juga Wajib Bayar Zakat Jika Cukup Syarat

Siapa yang taknak hidup bahagia kat atas dunia ini kan ? Bagi pasangan suami isteri, dikurniakan zuriat merupakan kegembiraan yang sangat dinanti-nantikan. Tapi, kalau dah ada zuriat sudah pastinya tanggungjawab semakin bertambah. Antara amanah yang dipertanggungjawab terutamanya kepada seorang bapa ialah memastikan kehidupan anaknya dicorakkan dengan baik sehingga boleh menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Membesarkan anak bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai perkara penting perlu diteliti oleh seorang ketua keluarga bagi memastikan keberkatan kehidupan sekeluarga. Salah satu perkara terpenting yang sering terlepas pandang oleh ketua keluarga mahupun bapa ialah memastikan zakat anaknya diselesaikan.

Budak kecik pun kena bayar zakat ke ?

Selama ini ibu bapa hanya menumpukan zakat pendapatan dan juga zakat fitrah pada bulan Ramadhan. Tapi ramai yang tak tahu kan yang kanak-kanak pun perlu bayar zakat juga ? Terlebih dahulu, adalah lebih baik untuk mengetahui syarat asas wajib bagi zakat iaitu seorang yang beragama Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Dalam kelima-lima syarat tersebut, tidak dinyatakan bahawa akil dan baligh (berakal dan cukup umur) merupakan syarat sah untuk dikenakan zakat. Perkara ini membawa makna bahawa kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun juga wajib membayar zakat sekiranya cukup syaratnya.

Zakat yang dimaksudkan ialah terhadap harta yang sudah cukup syaratnya yang dimiliki  oleh golongan kanak-kanak. Perkara ini membawa maksud sekiranya seorang anak itu telah mempunyai wang simpanan melebihi nisab serta sampai setahun (haul), maka mereka telah layak untuk menunaikan zakat. Bukan sahaja kanak-kanak, orang yang tidak waras juga diwajibkan untuk membayar zakat sekiranya mempunyai harta sendiri. Tapi, mampukah mereka ini untuk membayar zakat sedangkan kanak-kanak ini masih kecil dan orang tidak waras yang tidak dapat buat keputusan dengan betul?

Jadi, tanggungjawab untuk memastikan zakat bagi anak perlulah dipikul oleh ketua keluarga atau bapa, datuk dan penjaga. Dengan kadar sebanyak 2.5 peratus sahaja, seorang bapa perlu memastikan harta milik anaknya disucikan melalui pembayaran zakat yang diuruskan olehnya.

Kempen Zakat@Family

Bagi menyantuni tanggungjawab ketua keluarga yang perlu menguruskan zakat bagi tanggungannya, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperkenalkan inisiatif baru iaitu kempen Zakat@Family. Kempen ini memberi ruang dan kemudahan kepada ketua keluarga untuk menguruskan zakat anaknya dan tanggungan yang lain.

Satu inisiatif dakwah ke atas setiap keluarga keluarga, penjaga atau wali agar dapat melaksanakan tanggungjawab memastikan taksiran dan pembayaran zakat ke atas setiap individu yang berada di bawah tanggungan atau jagaan mereka.

Pelaksanaan kempen Zakat@Family ini sebenarnya dapat memupuk kesedaran ke atas setiap ketua keluarga, penjaga atau wakil agar dapat melaksanakan tanggungjawab memastikan taksiran dan bayaran zakat ke atas individu yang berada di bawah jagaan mereka. Selain itu, ianya juga dapat menyebar luaskan mengenai kefahaman zakat kepada orang ramai yang selama ini tidak sedar akan keperluan zakat terhadap kanak-kanak.

Tapi jangan terlupa pula, bukan sahaja keperluan zakat anak kandung yang perlu dipenuhi oleh seorang ketua keluarga, tapi kesemua tanggungan di bawahnya. Golongan ini termasuklah anak tiri, golongan anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan mukallaf. Sekalipun, ibu bapa yang sudah tidak mampu untuk menguruskan harta mereka sendiri juga diperuntukkan untuk membayar zakat. Jadi, semua ini telah menjadi tanggungjawab ketua keluarga.

Oleh itu, dengan pelaksanaan kempen ini diharapkan dapat memberikan kesenangan kepada ketua keluarga untuk menunaikan zakat bagi golongan yang berada di bawah tanggungannya. Zakat merupakan salah satu fardhu dalam rukun Islam yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam yang berkemampuan. Oleh itu, perkara ini tidak boleh diambil lewa terutamanya zakat yang perlu dibayar oleh anak yang mempunyai harta sendiri.

Untuk lebih kefahaman mengenai konsep zakat terutamanya kepada tanggungan, Ustaz Khairul Azhan Ahmat, Pengurus Perundingan Zakat melalui video ini dapat menerangkan dengan lebih lanjut.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen Zakat@Famili ini, layari Facebook Rasmi Lembaga Zakat Selangor dan portal rasmi Lembaga Zakat Selangor.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa