Siakap Keli
Kredit: Google

(Video) Awas, Ada Pesakit Polio Yang Tiada Simptom, Boleh Sebarkan Virus Tanpa Sedar & Tiada Penawar

Setelah 27 tahun negara kita bebas polio, semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kemunculan semula wabak tiada penawar itu di Malaysia.

Kejadian yang menimpa seorang bayi tiga bulan itu menyebabkan mangsa terpaksa dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

Polio merupakan penyakit bawaan virus yang hanya menjangkiti manusia dengan menyerang sistem saraf, menyebabkan kecacatan atau lumpuh pada anggota badan hingga boleh membunuh.

Ia mula dikesan sejak 6,000 tahun yang lalu berikutan penemuan mumia Mesir yang mempunyai sendi cacat dipercayai akibat polio.

Penyebaran

Poliovirus boleh tersebar melalui sentuhan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan pembawa virus terutamanya dalam persekitaran kotor.

Laluan tekak-oral
Kredit: Alexa Abidin/Slide Share

Virus yang menjangkiti melalui laluan tekak-oral (fecal oral route) ini mudah tersebar melalui najis dan air liur pesakit serta makanan atau minuman yang tercemar dengan sentuhan pesakit.

Disebabkan ia mempunyai simptom yang pelbagai (daripada tiada simptom hinggalah lumpuh dan kematian), pembawa virus ini mungkin boleh menyebarkan polio tanpa disedari.

Simptom

Pesakit yang menghidap polio mungkin tidak sedar mereka telah dijangkiti sehinggalah selepas tempoh yang lama berikutan ketiadaan atau simptom yang tidak jelas.

Bagi pesakit yang menunjukkan simptom pula, mereka mungkin mempunyai simptom seperti berikut;

Polio bukan paralitik

  • demam selesema berlanjutan selama beberapa hari atau minggu
  • sakit tekak
  • sakit kepala
  • muntah
  • keletihan
  • sakit belakang dan leher
  • kejang tangan dan kaki
  • sakit otot
  • kejang otot
  • meningitis

Polio paralitik

Polio paralitik biasanya bermula dengan simptom yang serupa dengan polio bukan paralitik, namun ia berkembang menjadi lebih serius seperti;

  • kehilangan refleks otot
  • sakit dan kejang otot yang teruk
  • lemah tangan dan kaki pada salah satu sisi tubuh
Kredit: Medscape eMedicine

Tiada ubatan

Sehingga kini, tiada ubatan untuk polio. Rawatan utama ke atas pesakit hanyalah berfungsi untuk meminimumkan simptom dan mengelakkannya dari menjadi lebih teruk.

Sebelum ini, pesakit yang mengalami masalah pernafasan akibat polio terpaksa tinggal di dalam ‘iron lung’ untuk membantu mereka bernafas sehingga hujung nyawa mereka.

Paul Alexander merupakan antara individu terakhir yang masih menggunakan ‘iron lung’ untuk membantu pernafasan mereka.

Satu-satunya jalan pencegahan adalah melalui vaksin sama ada melalui suntikan ataupun oral. Menurut World Health Organization (WHO), 99 peratus polio telah berjaya dihapuskan di seluruh dunia melalui rancangan vaksin.

Namun, peperangan menyumbang kepada kemunculan semula berikutan pemvaksinan tidak dapat dijalankan dengan baik di kawasan terjejas.

Individu berisiko

Antara golongan berisiko dijangkiti polio adalah,

  • individu yang tidak divaksin
  • individu yang mempunyai imuniti lemah
  • golongan muda
  • wanita mengandung
  • penjaga pesakit polio
  • pelancong ke negara yang mempunyai wabak polio
  • pekerja makmal yang menguruskan poliovirus hidup

Pencegahan

1. Vaksin

Menurut KKM, poliovirus boleh tersebar dalam persekitaran yang kotor dan mempunyai liputan imunisasi kurang daripada 95%.

Dalam kes melibatkan bayi tiga bulan yang dijangkiti di Sabah baru-baru ini, KKM mendakwa seramaiĀ  23 daripada 199 orang (11.6%) yang berumur di antara dua (2) bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

Sumber: KKM

2. Jaga kebersihan

Disebabkan virus ini berjangkit dengan mudah tersebar di kawasan kotor dan melalui najis pesakit, penjagaan kebersihan amatlah penting. Pastikan anda bersihkan tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, sebelum dan selepas makan.

3. Pilih makanan bernutrisi

Tingkatkan imuniti tubuh badan dengan menjaga pemakanan. Ambil makanan bernutrisi lengkap serta dapatkan waktu tidur yang cukup untuk menguatkan daya tahan tubuh.

4. Kebersihan makanan dan minuman

Virus ini dapat mencemarkan air dan makanan. Oleh itu, pastikan persekitaran bersih ketika mengendalikan makanan. Panaskan air serta makanan sehingga benar-benar masak untuk mematikan virus. Pilih tempat makan yang bersih.

5. Pilih tandas yang bersih

Pastikan anda memilih tandas yang bersih terutamanya bagi anak-anak anda. Hal ini kerana poliovirus tersebar melalui najis manusia.

Basuh tangan dengan sabun setelah menggunakan tandas.

Sumber: Medicine Net, Immunise4Life, CNN Indonesia

Amira

Love yourself.