Siakap Keli

Penduduk Empat Daerah Di Terengganu Berisiko Dilanda Banjir Besar

KUALA NERUS, 18 Dis (Bernama) — Penduduk empat daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu dinasihat lebih berwaspada berdepan risiko banjir yang dijangka lebih besar berbanding banjir baru-baru ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan paras bacaan di beberapa lembangan sungai di empat daerah itu semakin meningkat sehingga ada yang sudah melepasi paras bahaya.

“Berdasarkan amaran cuaca waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi ini, sekiranya hujan lebat berterusan, ia boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan perkampungan yang terletak berhampiran sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sesi latihan ulangkaji pengendalian bot dan enjin bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang disertai 30 pegawai di Tasik Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Ketika ini, dua sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai mencatat bacaan 22.11 meter (m) mengatasi paras bahaya 21m dan Sungai Berang di Kampung Menerong dekat Hulu Terengganu iaitu 25.14m (bahaya 24.5m).

Selain itu, Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Nerus dan Sungai Kemaman pula merekodkan bacaan melebihi paras waspada.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata jalan Bukit Besi berdekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air sejauh 150 meter.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari semalam di Setiu juga menyebabkan penduduk daerah itu mula memindahkan barangan ke tempat yang lebih selamat sebagai persediaan menghadapi banjir.

Seorang penduduk Kampung Langkap, Setiu, Azizah Halam, 43, ketika dihubungi Bernama berkata air di Sungai Nerus yang terletak berdekatan rumahnya sudah mula melimpah ke tebing ekoran hujan lebat.

“Hujan memang tak berhenti, sekejap lebat sekejap sederhana. Memang kami risau sangat sebab kalau berterusan sehari dua lagi mungkin kampung kami di sini akan dilanda banjir sekali lagi. Sekarang pun tengah berkemas pindahkan barang ke tempat tinggi.

“Penat sebab mengemas rumah yang dilanda banjir awal bulan ini pun tak habis lagi, banyak lagi tak siap tapi kami terpaksa bersedia dengan bencana banjir buat kali kedua tak lama lagi,” katanya yang kerugian lebih RM8,000 apabila lapan sarang kelulut peliharaannya musnah akibat dihanyut arus banjir.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa