Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Dijangka Pulih Tiga Hari Lagi

Berikutan dengan masalah gangguan bekalan air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya dijangkakan pulih sepenuhnya tiga hari lagi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ketika ini pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dalam proses meningkatkan paras kolam imbangan dan penyaluran ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan di kawasan terjejas.

Menurutnya, selepas itu barulah bekalan akan disalurkan ke premis pengguna yang terlibat.

Gangguan bekalan air tidak berjadual ini berskala besar, maka tempoh pemulihan bekalan air kepada pelanggan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

Bagi pengguna yang berada di kawasan berdekatan dengan sistem agihan akan menerima bekalan air mulai tengah malam ini secara berperingkat.

Air Selangor menjangkakan bekalan air kembali pulih sepenuhnya di wilayah terlibat dalam tempoh anggaran 72 jam

Dalam perkembangan lain, Abdul Halem berkata, LRA Bukit Tampoi masih belum mula beroperasi semula kerana paras pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

Menurutnya, sementara bekalan air pulih sepenuhnya, bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.

Sebanyak 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasinya 24 jam termasuk penambahan empat lagi lokasi pili awam yang menjadikan keseluruhannya 18 lokasi pili awam disediakan.

Pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan ini boleh terus rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Pihak Air Selangor sentiasa mengemaskini maklumat dari semasa ke semasa untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini talian bebas tol 15300 dan laman sesawang Air Selangor mengalami kesesakan trafik dan panggilan masuk yang tinggi.

Bagaimanapun beliau berkata, pengguna masih boleh menghubungi Air Selangor menerusi WhatsApp ke talian 019-2800919 / 019-2816793 untuk bantuan.

Sumber: Sinar Harian

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)