Siakap Keli
Gambar : Bernama

Kemasukan Pelancong Masih Tertakluk Kepada Peraturan JIM

Putrajaya : Kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk, dan Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan sekiranya pelancong terbabit, tersenarai di dalam senarai hitam atau senarai syak Jabatan Imigresen (JIM) atau tergolong dalam kategori imigran larangan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, walaupun kerajaan telah memberikan kemudahan pengecualian visa kepada pelancong warganegara China dan India, namun pelancong dari kedua-dua negara berkenaan masih perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem ‘Electronic Travel Registration and Information’ (eNTRI).

”KDN dan JIM sentiasa memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara,” kata KDN dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Mengulas isu yang viral di media sosial mengenai satu warta kerajaan bertarikh 23 Dis berkenaan pengecualian visa kepada pelancong dari China berkuatkuasa daripada 1 Jan 2020 sehingga 31 Dis 2020, KDN berkata pewartaan tersebut adalah satu prosedur biasa, yang dibuat setiap tahun semenjak inisiatif itu diperkenalkan pada 2016.

KDN menjelaskan bahawa warta kerajaan berkenaan dikeluarkan menurut Akta Pasport 1966 untuk membolehkan pelaksanaan eNTRI yang merupakan kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China untuk memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau lawatan sosial bagi tempoh 15 hari.

Katanya objektif utama pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk mengukuhkan industri pelancongan, dengan memberi kemudahan tanpa visa kepada pelancong, yang ingin melawat Malaysia.

”Inisiatif ini telah diumumkan kerajaan semasa pembentangan pengubahsuaian bajet pada 28 Jan 2016 di mana pelancong warganegara China dikecualikan daripada keperluan visa mulai 1 Mac 2016 sehingga 31 Dis 2016 tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

”Ia kemudian diperluas kepada pelancong warganegara India pada 1 April 2017, dengan pelanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan,” katanya.

Mengulas lanjut, KDN berkata kemasukan tanpa visa melalui eNTRI adalah satu penambahbaikan ke atas mekanisme secara Visa On Arrival (VOA), dan elemen keselamatan menjadi sebahagian daripada proses eNTRI dan dikawal sepenuhnya oleh JIM.

Jelasnya sistem eNTRI merupakan salah satu langkah kawalan oleh kerajaan melalui JIM yang akan membuat pemantauan dan verifikasi ke atas pelancong yang menggunakan kemudahan tanpa visa berkenaan.

”Selain itu, pelancong juga dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRI hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh pelancong tersebut keluar dari Malaysia.

”Tempoh 45 hari tersebut dikenali sebagai tempoh bertenang yang merupakan salah satu elemen kawalan, bagi mengelakkan penyalahgunaan kemudahan ini,” katanya.

Mengenai dakwaan beberapa pihak-pihak yang cuba mengaitkan kemudahan pengecualian visa tersebut dengan isu pelancong warganegara China yang tinggal melebihi tempoh masa di negara ini, KDN menegaskan JIM sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin, termasuk pelancong yang tinggal lebih masa.

”Tindakan tegas diambil terhadap warganegara asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.