Siakap Keli
Gambar : Hello Doktor

Percaya Atau Tidak, Kajian Dapati Berjalan Kaki Mampu Kurangkan Risiko Kanser

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Berjalan kaki kadang-kala meletihkan. Terutamanya bagi mereka yang berada di pusat bandar seperti Kuala Lumpur dan menaiki pengangkutan awam. Berjalan ke setiap satu stesen yang berlainan rasanya cukup meletihkan.

Walaupun begitu, jangan mengeluh kerana aktiviti berjalan kaki secara tidak sengaja ini sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada kesihatan anda.

Melalui satu kajian yang dijalankan, berjalan kaki bukan sahaja membantu membakar kalori tubuh, malah ia lebih daripada itu. Ingin tahu apakah manfaat yang ingin dikongsikan? Ikuti penjelasan oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Jalan kaki bantu kurangkan risiko 7 jenis kanser

Baru-baru ini, terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa, individu yang melakukan senaman sederhana selama dua jam 30 minit dalam masa seminggu mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk mendapat tujuh jenis kanser. Biar betul?

Ya, dan ini boleh dilakukan melalui aktiviti berjalan kaki cepat selama sekurang-kurangnya 20 minit atau kayuhan basikal setiap hari. Bukan susah pun sebenarnya untuk kekal sihat dan mengurangkan risiko untuk mendapat kanser.

Jumlah senaman seperti yang dinyatakan di atas ini telah didapati dapat mengurangkan risiko untuk mengalami kanser hati sebanyak 18 peratus, iaitu hampir satu per lima bagi kedua-dua jantina.

Bagi kanser payudara pula, risiko tersebut berkurangan sebanyak 6 peratus bagi senaman selama 2 jam 30 minit, dan 10 peratus untuk senaman selama 5 jam. Selain itu, risiko untuk mengalami kanser buah pinggang bagi kedua-dua jantina juga menurun sebanyak 11 peratus bagi senaman selama 2 jam 30 minit, dan 17 peratus bagi senaman selama 5 jam.

Golongan wanita yang melakukan senaman dalam tempoh seperti yang dicadangkan di atas akan mempunyai pengurangan risiko sebanyak 18 peratus untuk mendapat kanser rahim berbanding mereka yang tidak aktif.

Selain itu, berpandukan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Oncology, mereka juga akan kurang berisiko untuk mendapat limfoma bukan Hodgkin sebanyak 18 peratus. Bagi golongan lelaki yang melakukan senaman seperti tempoh yang disarankan, mereka akan mengalami pengurangan risiko untuk mendapat kanser kolon sebanyak 14 peratus. Kedua-dua golongan lelaki dan wanita juga kurang berisiko untuk mendapat myeloma kanser darah sebanyak 19 peratus.

Sebab mengapa senaman kurangkan risiko kanser

Hasil daripada kajian yang dijalankan mencadangkan bahawa senaman membantu mengurangkan separuh risiko untuk mengalami kanser kerana ia membantu menurunkan berat badan seseorang individu itu. Walau bagaimanapun, untuk individu yang kekal aktif, walaupun mereka tidak menurunkan berat badan, mereka masih mendapat perlindungan bagi melawan serangan kanser.

Kaedah kajian yang dijalankan

Para penyelidik telah melakukan pemantauan terhadap seramai 755, 549 individu melalui kajian ini selama satu dekad. Menurut Dr. Alpa Patel yang merupakan pengkaji bersama dari American Cancer Society, perkara yang paling mengujakan mengenai hasil kajian ini adalah, penyertaan peserta kajian dalam aktiviti berintensiti sederhana dengan jumlah yang sedikit tetapi konsisten dilihat boleh memberikan manfaat perlindungan dengan pengurangan risiko untuk mendapat kanser.

Menurut Dr. Alpa lagi, ini merupakan satu berita baik bagi kebanyakan daripada kita. Apabila mereka mengetahui mereka sepatutnya melakukan lebih banyak senaman untuk kesihatan atau pencegahan kanser, mereka mungkin akan melakukan perubahan drastik dalam hidup mereka seperti mula berlatih untuk penyertaan maraton.

Faedah-faedah lain yang boleh anda dapati daripada berjalan kaki

Selain daripada pengurangan risiko bagi beberapa jenis kanser, anda juga pasti ingin tahu apakah manfaat-manfaat lain yang boleh anda peroleh daripada berjalan kaki. Dengan 30 minit berjalan kaki setiap hari, ia boleh meningkatkan kecergasan kardiovaskular, menguatkan tulang, mengurangkan lemak badan yang berlebihan, selain meningkatkan kekuatan dan ketahanan otot.

Selain itu, berjalan kaki juga dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, dan kerapuhan tulang atau osteoporosis. Yang paling penting, berjalan kaki adalah percuma kerana anda tidak memerlukan sebarang peralatan khas atau tertentu untuk melakukannya.

Bagaimana untuk memulakannya?

Berjalan kaki tidak memerlukan waktu atau lokasi khas untuk anda melakukannya. Mungkin juga agak sukar untuk anda melakukannya selama 30 minit secara berterusan. Langkah terbaik adalah dengan cara melakukannya selama 10 minit, tiga kali sehari. Tetapi jika matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu melakukannya lebih daripada 30 minit setiap hari.

Selain itu, aktiviti fizikal yang berkaitan dengan kehidupan seharian anda juga adalah sangat membantu. Ia adalah satu kaedah yang paling berkesan untuk membantu anda menurunkan berat badan yang berlebihan dan mengekalkannya setelah anda menghilangkannya. Antara saranan yang boleh anda ikuti adalah:

  • Gunakan tangga berbanding penggunaan lif. Jika anda tinggal di rumah yang berada di tingkat 20, cuba gunakan tangga sekurang-kurangnya daripada tingkat 1 hinggalah tingkat 10
  • Gunakan kemudahan pengangkutan awam jika anda mahu kemana-mana. Ia akan menggalakkan anda untuk banyak berjalan kaki berbanding hanya duduk di dalam kereta
  • Jika anda mahu ke kedai atau pasar yang jaraknya tidak lebih daripada 1 atau 2 kilometer, cubalah berjalan kaki berbanding menaiki kereta atau motosikal
  • Bersiar-siar di taman permainan atau tasik rekreasi. Pemandangan yang cantik dapat mengurangkan rasa letih ketika anda berjalan-jalan

Rekod perjalanan anda dengan menggunakan aplikasi pada telefon pintar anda. Ia dapat membantu anda untuk melihat prestasi harian anda melalui jarak yang telah anda lalui, waktu aktif anda, dan sama ada anda telah memenuhi sasaran harian atau tidak. Senang bukan?

Kesimpulan 

Berjalan kaki hanya memerlukan kelengkapan yang minimum, boleh dilakukan pada bila-bila masa dan boleh dilakukan mengikut kadar anda sendiri. Berjalan kaki juga adalah satu aktiviti fizikal yang sangat baik untuk individu yang mempunyai berat badan berlebihan, warga emas atau mereka yang telah lama tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal atau senaman.

Jadi, tunggu apa lagi, buka pintu rumah anda dan berjalanlah disekitar taman perumahan anda. Tiada alasan untuk anda kekal aktif lagi!

Sumber : Muhammad Wa’iz via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra