Siakap Keli

Adakah Perokok Akan Guna Kawasan Khas Merokok Yang Mungkin Dibina ‘Berharga’ RM1 Juta?

Berikutan dengan penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan inisiatif bagi menjayakan program tersebut dengan membina kawasan khas merokok di tempat awam di seluruh negara.

Kesediaan pihak KPKT membelanjakan RM1 juta untuk perancangan tersebut telah mendapat pelbagai reaksi di media sosial.

Rata-rata netizen tidak bersetuju dan menganggap cadangan itu pembaziran wang rakyat. Mereka turut mempersoalkan tindakan kementerian memperuntukkan wang untuk golongan yang hanya membabitkan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Menurut Zuraida Kamaruddin, inisiatif itu selain bertujuan menyokong tindakan Kementerian Kesihatan terhadap larangan merokok, ia juga bukti keprihatinan kementerian itu terhadap aduan kesukaran perokok merokok di tempat awam.

Persoalannya, adakah golongan perokok tegar bersedia mematuhi perintah larangan merokok sementara menunggu kawasan khas yang dimaksudkan tersedia depan mata?

Meskipun Kementerian Kesihatan akan mengenakan saman RM500 terhadap pelanggan yang melakukan kesalahan pertama merokok di kawasan larangan, namun golongan perokok tegar itu seperti tidak makan saman.

Dalam operasi jabatan kesihatan di beberapa negeri baru-baru ini mendapati, perokok tidak segan silu atau ambil kisah soal peraturan dan merokok dalam kawasan kedai makan.

Lebih memburukkan keadaan, peniaga juga seperti mahu menutup mata gara-gara bimbang premis mereka tidak dikunjungi. Mereka mungkin lupa bahawa 80 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada golongan bukan perokok!

Jika mereka itu tidak kisah tentang peraturan sehingga ada yang selamba merokok di dalam lif, adakah pembinaan kawasan khas untuk perokok benar-benar akan digunakan? Adakah mereka teruja mendengar khabar berita itu?

Namun begitu, tindakan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran atas kapal serta kereta api di seluruh negara pada 1 Januari lalu wajar disokong.

Ini bagi memastikan kesihatan seluruh rakyat Malaysia terjamin.

Sumber: Sinar Harian

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)