Siakap Keli

Vaksin Sekadar Pencegahan, Tak Semua Perlukan – Dr. Hilmi

Wabak virus influenza nampaknya telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Malah, ada yang panik sehinggakan bergegas mendapatkan vaksin bagi tujuan mencegah wabak berkenaan.

Pun begitu, menurut Doktor Pakar Dalaman dan Rheumatologi dari KPJ Pahang, Dr Hilmi Abdullah, masyarakat tidak perlu bimbang kerana wabak ini tidak membawa maut. Tambahnya lagi, pesakit yang mengalami wabak ini juga boleh sembuh sekiranya tidak mendapatkan antiviral Tamiflu.

Suntikan vaksin sebenarnya adalah sebagai langkah pencegahan dan ianya bukanlah untuk menyembuhkan. Pesakit berpotensi untuk sembuh sekiranya mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan kuarantin di rumah. Kebimbangan orang ramai terhadap virus ini telah menyebabkan khidmat suntikan vaksin meningkat dari hari ke hari.

Perkara ini adalah kerana wabak ini mudah merebak melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung. Disebabkan itu jugalah orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati orang yang bersin atau batuk. Selain titisan air, virus ini juga berpotensi untuk merebak melalui tangan yang tercemar ketika bersentuhan dengan penghidap virus ini.

Dr Hilmi juga mengakui bahawa pencegahan yang terbaik adalah dengan mengambil vaksin. Namun, tidak semua orang memerlukan vaksin dan ianya diberikan keutamaan kepada kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, pesakit kronik dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, Dr Hilmi menasihati orang ramai untuk tetap mendapatkan khidmat doktor sekiranya menyedari tanda-tanda influenza dalam diri.

Sumber: Sinar Harian

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra