Siakap Keli
Gambar: Bahagian Hab Halal JAKIM

JAKIM Tampil Beri Penjelasan Isu Tular Surat Permohonan Skim Premis Makanan Jenama Subway Ditangguh

Tular sekali lagi, dakwaan kononnya premis makanan jenama Subway tidak pernah mendapat sijil halal itu adalah fitnah semata-mata. Tujuan surat tersebut dikemukakan adalah untuk pihak premis tersebut mematuhi piawaian sijil halal kerana ada beberapa kompenen yang dilihat tidak bersih.

Untuk lebih faham, di bawah adalah kenyataan daripada pihak Bahagian hab Halal Jakim menjawab isu yang tular tersebut.

Kenyataan Daripada Bahagian Hab Halal, JAKIM

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan sebaran surat makluman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di media sosial. Makluman yang dihantar adalah susulan isu kawalan bahan mentah yang lemah serta penemuan penggunaan penapis air yang mengandungi komponen dari haiwan. Pemakluman ini sebagai penyelarasan dalaman antara JAKIM dan JAIN.

Pihak kami telah menerima penjelasan dari Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan berhubung penularan surat tersebut dan berdasarkan maklum balas yang diterima mendapati ia telah diedar kepada kakitangan mereka tanpa mematuhi peraturan pengendalian dokumen kerajaan sehingga menjadi tular.

Pihak Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan juga akan melakukan penambahbaikan dengan memberikan peringatan kepada semua pegawai dan kakitangan untuk sentiasa mematuhi tatacara pengendalian dokumen kerajaan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Keputusan menangguhkan semua permohonan skim premis makanan bagi rangkaian restoran jenama Subway adalah untuk memberi ruang kepada syarikat membuat pembetulan dan penambahbaikan yang sewajarnya supaya memenuhi standard Pensijilan Halal Malaysia setelah mengadakan perbincangan dengan JAKIM.

Justeru, masyarakat pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan isu yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di:-

http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular

Terima kasih.

 

Sumber: Bahagian Hab Halal, JAKIM

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)