Siakap Keli
Kredit: Google/IOL

Kritikal Ditembak Di Kepala, Anak Pendakwah Tersohor Ahmad Deedat Meninggal Dunia

Durban, Afrika Selatan – Setelah 3 hari bertahan selepas ditembak di kepala, anak kepada pendakwah terkenal, Allahyarham Ahmad Deedat akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir, lapor media tempatan, IOL News.

Yousuf Deedat, 65 yang juga merupakan pendakwah dan aktivis meninggal dunia di Hospital St. Anne di Pietemaritzburg pada 2.40 petang tadi waktu tempatan.

Yousuf telah ditembak di kepala oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di luar Mahkamah Majistret Verulam pada Rabu lalu ketika berjalan bersama isterinya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki tidak dikenali membawa senjata dan menembak Yousuf sebelum melarikan diri menaiki sebuah kenderaan yang sedia menunggu.

Suspek masih belum diberkas dan motif serangan masih belum diketahui.

Seorang yang baik dan gemar membantu

Anaknya, Raees Deedat berkata mereka sekeluarga bersama teman-temannya berada di sisinya ketika Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir

“Kami menzahirkan terima kasih atas sokongan keluarga dan rakan-rakan. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” ujar Raees Deedat.

Pengerusi masjid tempatan, Azad Seedat berkata Yousuf merupakan seorang yang baik.

Dia baik dengan semua orang. Dia sering menziarahi masjid kami dan memberi sokongan apabila kami memerlukan. Kami terkejut dengan berita ini,” katanya.

Sementara itu jiran Allahyarham, Sharmaine Sewshanker berkata, Yousuf terkenal dalam kalangan komuniti itu sebagai seorang yang gemar membantu.

“Dia tidak akan mengecewakan sesiapa yang meminta pertolongan, bahkan sentiasa membantu lebih dari yang dipinta,” kongsinya.

Ahmad Deedat merupakan pendakwah bebas yang terkenal dengan kemahirannya berdebat dalam perbandingan agama dan merupakan guru kepada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Berita duka ini turut dikongsikan ulama terkenal Amerika, Yasir Qadhi di Facebook miliknya.

“Saya menggesa pihak berkuasa Afrika Selatan mencari pembunuh yang melakukan perbuatan kejam ini dan menegakkan keadilan,” tulisnya.

“Moga Allah anugerahkan syahid buat Yousuf Deedat dan mengampunkan dosanya, mengangkat darjatnya dan memberi kesabaran buat keluarganya.”

Sumber: IOL, Yasir Qadhi

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.