Siakap Keli
Gambar : Bernama

PDRM Siasat Individu Terlibat Insiden Kekerasan Terhadap Papagomo

Ipoh : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat semua pihak, termasuk Exco Pemuda UMNO Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, berhubung insiden kekerasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan, terhadap mereka yang terlibat selepas siasatan dijalankan.

“Aksi mereka berteriak di lapangan terbang pasti akan disiasat polis. Kedua-dua pihak akan disiasat. Jika terbukti (salah) tindakan akan diambil, tidak akan terlepas.

“Apabila kertas siasatan telah disiapkan kita akan hantar ke Jabatan Peguam Negara dan mereka tentukan dakwa atau tidak boleh nak dakwa (berdasarkan bukti),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis, di Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata insiden tersebut merupakan satu perbuatan tidak sihat, dan ia seolah-olah mencerminkan negara tidak mempunyai undang-undang.

Ahad lepas, tular di media sosial rakaman video menunjukkan Muhammad Azri yang berada di KKIA untuk pulang ke Kuala Lumpur ‘dikepung’ selain sekumpulan lelaki melakukan provokasi terhadapnya dan ia dikaitkan dengan tindakan Papagomo mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid menegaskan PDRM akan membanteras habis-habisan budaya ‘gangsterism’ atau kongsi gelap di dalam negara, bagi mengelak ia hidup kembali seperti dalam era 60-an dan 70-an.

“Kita mesti berusaha untuk patahkan apa juga cubaan hidupkan kegiatan kongsi gelap ini. Segalanya akan mereka lakukan demi mendapatkan duit termasuk mengawal premis hiburan, malah sanggup melanggar undang-undang atas nama persatuan atau kesatuan, mereka menakutkan orang lain.

“Kecenderungan untuk melakukan kesalahan amat besar apabila bergabung dalam macam-macam geng, ia memang tidak baik. Itulah kebiasaan kongsi gelap lakukan,” katanya.

Beliau mengulas penahanan seramai 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (Pakis) termasuk ketuanya yang dikenali sebagai ‘Ayah Bos’ dalam serbuan di Jalan Genting Klang, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan selain Ayah Bos yang  berusia 50 tahun, turut ditahan Ayah TCB atau Taucu Bhai, Ayah Man Keramat serta beberapa individu lain dipercayai pemimpin Pakis dan Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (Batas) di sekitar Lembah Klang.

Abdul Hamid menegaskan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan memastikan hukuman maksimum dikenakan kepada semua tahanan, berdasarkan siasatan rapi yang dibuat termasuk rekod jenayah lampau selain latar belakang.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.