Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia untuk meneliti cadangan penambahbaikan spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk penyediaan pakaian yang lebih mematuhi syariah serta bersesuaian bagi tahanan wanita beragama Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun pakaian tahanan sedia ada masih sesuai digunakan dan memenuhi keperluan keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap namun kerajaan terbuka bagi penambahbaikan berterusan mengikut keperluan semasa.
"Walau bagaimanapun, selaras dengan prinsip penambahbaikan berterusan dan keperluan semasa, PDRM sedia untuk meneliti cadangan penambahbaikan spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk penyediaan pakaian yang lebih mematuhi syariah serta bersesuaian bagi tahanan wanita beragama Islam," katanya dalam jawapan bertulis hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai kesediaan kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pakaian lokap dan menyediakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna kepada tahanan wanita Muslim bagi menjaga maruah, hak serta kehormatan mereka selaras dengan tuntutan syariah.
Tambah Saifuddin, beliau kerajaan berpandangan bahawa kerangka perundangan dan pentadbiran sedia ada telah menyediakan perlindungan yang sewajarnya terhadap kebajikan dan privasi tahanan wanita tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
"Kaedah 13A di bawah Kaedah-Kaedah Lokap (Pindaan) 2025 menetapkan setiap tahanan hendaklah dibekalkan pakaian, kasut serta keperluan lain sebagaimana ditentukan oleh pegawai penjaga lokap.
“Peruntukan ini bertujuan memperkukuh tanggungjawab pihak berkuasa dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas setiap tahanan sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh berada di lokap.
“Dari aspek penyediaan pakaian pula, Arahan Pentadbiran Bilangan 16 Tahun 2009 berkaitan Pakaian Tahanan Dalam Lokap menetapkan bahawa semua tahanan yang ditempatkan di lokap polis hendaklah memakai pakaian tahanan yang disediakan,” katanya.
Menurut beliau, pakaian seragam itu diwujudkan bagi memastikan kesesuaian serta keseragaman sepanjang tempoh tahanan.
“Spesifikasi pakaian tahanan sedia ada masih sesuai digunakan dan memenuhi keperluan keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap,” katanya
Menurutnya, KDN sentiasa komited untuk memastikan pengurusan tahanan di lokap PDRM dilaksanakan secara profesional, berperikemanusiaan dan menghormati maruah setiap individu dengan mengambil kira sensitiviti agama, budaya, kesejahteraan psikologi tahanan serta piawaian hak asasi manusia yang diterima pakaI.