Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dulu Meriah, Kini Umpama 'Berhantu',10 Stadium Piala Dunia Yang Kini Terbiar
Satu ketika dahulu, stadium-stadium ini berdiri megah sebagai pentas terbesar dunia bola sepak.
Setiap perlawanan menyaksikan lautan penyokong memenuhi setiap sudut, mencipta suasana yang penuh emosi, sorakan dan detik bersejarah yang terpahat dalam ingatan peminat sukan seluruh dunia.
Ketika itu, stadium bukan sekadar bangunan, tetapi simbol kebanggaan negara yang menjadi tumpuan global.
Namun selepas tirai Piala Dunia dilabuhkan, kemeriahan itu perlahan-lahan pudar sebelum hilang serinya
Ada stadium yang masih digunakan, tetapi tidak kurang juga yang semakin jarang menerima acara besar.
Kos penyelenggaraan yang tinggi, kekurangan aktiviti berterusan dan perubahan keperluan sukan menjadikan sebahagiannya semakin sepi dari hari ke hari.
Kini, sebahagian stadium tersebut berdiri dalam suasana yang jauh berbeza daripada zaman kegemilangannya.
Dari lokasi yang pernah bergema dengan sorakan ribuan penonton, ia bertukar menjadi ruang sunyi yang hanya sesekali dikunjungi.
Fenomena ini membuka persoalan tentang nasib 'warisan mega' Piala Dunia, adakah ia benar-benar kekal hidup atau sekadar tinggal kenangan yang perlahan-lahan dilupakan.
1. Arena BRB Mané Garrincha (Brazil 2014)
Stadium berkapasiti 72,000 tempat duduk ini terletak di ibu negara Brazil, Brasilia, dan pernah menjadi salah satu venue Piala Dunia 2014 apabila ia menganjurkan tujuh perlawanan dalam pesta bola sepak terbesar dunia itu kira-kira 12 tahun lalu.
Ketika kerja naik tarafnya pada tahun 2010, stadium ini menelan kos sekitar £250 juta, menjadikannya antara stadium bola sepak termahal di dunia pada ketika itu.
Namun, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila stadium ini hampir dibiarkan kosong dan terbiar selepas menjadi venue beberapa perlawanan Copa América 2021.
Hal ini berlaku kerana Brasilia tidak mempunyai pasukan bola sepak yang besar atau berpengaruh untuk mengisi stadium tersebut secara konsisten.

Disebabkan itu, stadium yang dinamakan sempena legenda bola sepak Brazil, Garrincha, kini tidak mempunyai penyewa utama yang berprofil tinggi.
Kini, Mané Garrincha yang menelan kos kira-kira £1.5 juta setahun untuk diselenggara, hanya digunakan untuk pelbagai acara kecil seperti festival tatu dan ekspo makanan.
Malah, kawasan parkirnya turut telah diubah menjadi depot bas.
2. Stadium 974 (Qatar)
Struktur yang agak baharu ini masih berada dalam keadaan yang baik, namun pelan besar yang dirancang oleh pihak pembinanya masih belum menjadi kenyataan.
Stadium ini dinamakan 'Stadium 974' kerana dibina menggunakan 974 kontena perkapalan sebagai simbol sebuah 'mercu tanda kelestarian'.
Ia pada asalnya direka untuk dibongkar sepenuhnya selepas kejohanan tamat dan dipindahkan ke negara tuan rumah Piala Dunia yang akan datang untuk digunakan semula.

Namun, lebih tiga tahun selepas kejohanan berakhir, Stadium 974 masih kekal berdiri dalam keadaan hampir sama seperti ketika ia mula dibina.
Walaupun pernah digunakan untuk beberapa acara seperti FIFA Arab Cup, Intercontinental Cup dan Trophée des Champions, stadium ini tidak dimiliki oleh mana-mana kelab bola sepak secara tetap.
Sehingga kini, masa depan stadium tersebut masih menjadi tanda tanya.
3. Parkstadion (Jerman 1974)
Stadium lama milik Schalke FC ini pernah mencatat sejarah penting dalam Piala Dunia.
Di Gelsenkirchen lebih 50 tahun lalu, stadium ini menyaksikan kemenangan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila Yugoslavia menewaskan Zaire (kini Republik Demokratik Congo) dengan jaringan 9-0.
Namun, selepas pasukan utama Schalke meninggalkannya pada tahun 2001, stadium berkapasiti 62,000 penonton itu mula kehilangan fungsi dan tidak lagi seperti dahulu.
Beberapa tahun kemudian, sebahagian besar struktur stadium ini dirobohkan.

Kini, hanya satu bahagian tempat duduk masih kekal dan padangnya digunakan oleh pasukan remaja serta simpanan Schalke.
Menariknya, di hujung padang, tepat di belakang kawasan gol, terdapat sebuah hotel yang dibina bersebelahan dengan stadium tersebut.
Hotel ini bukan sahaja unik dari segi lokasi, malah memberi kemudahan kepada peminat untuk menginap sambil menikmati akses mudah ke Veltins-Arena yang lebih moden di kawasan berhampiran.
4. Stadio Sant’Elia (Itali 1990)
Stadium bersejarah di Sardinia ini pernah menjadi tuan rumah bagi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan England semasa Kejohanan Piala Dunia FIFA 1990 di Iltali.
Namun, sejak penyewa utamanya iaitu kelab Serie A Cagliari terpaksa berpindah ke stadium lebih kecil, Unipol Domus pada tahun 2017, stadium ini mula terbiar dan tidak lagi digunakan.
Stadio Sant’Elia kemudian diisytiharkan tidak lagi sesuai untuk menampung penonton yang ramai serta terlalu mahal untuk dibaik pulih, lalu ditinggalkan begitu sahaja.

Kini, stadium itu dipenuhi karat, struktur yang rosak dan tumbuhan liar yang semakin memanjat di sekelilingnya.
Terdapat juga rancangan untuk merobohkan stadium ini bagi memberi ruang kepada pembinaan stadium baharu berkapasiti 30,000 tempat duduk.
5. Arena de Amazonia (Brazil 2014)
Stadium ini dikenang kerana menjadi lokasi kekalahan perlawanan pembukaan England kepada Itali pada Piala Dunia 2014.
Terletak di Manaus, ia berada betul-betul di tengah-tengah hutan hujan Amazon.
Lokasinya yang terpencil serta keadaan cuaca yang ekstrem menyebabkan kos penyelenggaraan menjadi sangat tinggi.
Malah, pembinaannya juga bukan murah, iaitu sekitar £217 juta.
Semasa pembinaan stadium berkapasiti 43,000 ini, tiga pekerja dilaporkan maut dalam tragedi yang menyedihkan.

Stadium ini pada asasnya dibina khas untuk kejohanan tersebut.
Kini, ia menjadi beban kewangan kerana tiada kelab liga utama di Manaus yang mampu menarik kehadiran penonton.
Malah, beberapa perlawanan liga bawahan hanya mencatat kehadiran kurang daripada 1,000 orang.
Laporan turut menyebut bahawa pihak pengurusan stadium terpaksa membuka ruang untuk majlis perkahwinan bagi menampung kos dan memastikan ia terus bertahan.
6. Peter Mokaba Stadium (Afrika Selatan 2010)
Stadium ini terletak di Polokwane, sebuah bandar kecil dengan kira-kira 130,000 penduduk.
Ia pernah mendapat pujian kerana reka bentuknya yang unik, yang diinspirasikan daripada pokok baobab.
Walaupun memiliki seni bina yang menarik, stadium ini semakin kurang digunakan sejak berakhirnya satu-satunya Piala Dunia yang pernah dianjurkan di benua Afrika, kira-kira 16 tahun lalu.
Pada asalnya, stadium ini dirancang untuk mempunyai bumbung yang menutupi keempat-empat bahagian tempat duduk.

Namun, hanya satu bahagian sempat disiapkan sebelum kejohanan bermula, manakala baki tiga lagi bahagian kekal tidak siap hingga hari ini.
Disebabkan tidak mempunyai pasukan tetap sebagai penyewa utama, Peter Mokaba Stadium sering terbiar dalam kebanyakan masa, walaupun sekali-sekala masih digunakan untuk beberapa acara tertentu.
7. Pontiac Silverdome (Amerika Syarikat 1994)
Stadium berkapasiti 83,000 tempat duduk ini pernah menjadi stadium NFL terbesar di Amerika Syarikat sehingga tahun 2000, sebelum ia ditinggalkan oleh pasukan Detroit Lions pada tahun berikutnya.
Beberapa tahun sebelum itu, Silverdome pernah menjadi tuan rumah kepada empat perlawanan Piala Dunia 1994.
Ia juga mencatat sejarah sebagai venue perlawanan Piala Dunia tertutup yang pertama di dunia, hasil penggunaan padang rumput sementara bernilai $1 juta (£730,000) serta bumbung fabrik bertekanan udara.

Namun menjelang pertengahan 2000-an, stadium ini mula mengalami kerosakan dan tidak diselenggara dengan baik.
Pada tahun 2009, ia dijual pada harga hanya $550,000 (£400,000), iaitu kurang daripada 1 peratus daripada kos asal pembinaannya.
Walaupun terdapat usaha awal untuk menghidupkannya semula, bumbung stadium itu runtuh pada tahun 2013 sebelum akhirnya Silverdome dirobohkan sepenuhnya empat tahun kemudian.
8. Stadio delle Alpi (Itali 1990)
Stadium ini dibina di Turin khusus untuk menjadi salah satu venue Piala Dunia di Itali pada tahun 1990.
Namun, Stadio delle Alpi dianggap kurang berjaya dari segi penggunaan dan pengalaman penonton.
Walaupun mempunyai kapasiti besar iaitu 69,000 tempat duduk dan pernah menganjurkan lima perlawanan termasuk separuh akhir antara England dan Jerman Barat, stadium ini tidak begitu digemari.

Peminat mengadu tentang penglihatan yang kurang jelas kerana kedudukan tempat duduk yang terlalu jauh dari padang, dipisahkan oleh trek olahraga di sekelilingnya.
Keadaan ini turut menjejaskan suasana perlawanan, menyebabkan kelab Torino dan Juventus meninggalkan stadium tersebut pada tahun 2006 sebelum ia akhirnya dirobohkan sepenuhnya tiga tahun kemudian.
9. Mbombela Stadium (Afrika Selatan 2010)
Reka bentuk stadium ini menarik perhatian ketika Piala Dunia Afrika Selatan 2010, dengan struktur bumbungnya yang menyerupai bentuk sokongan zirafah.
Stadium ini pernah menjadi tuan rumah kepada empat perlawanan peringkat kumpulan, namun seperti beberapa stadium lain dalam senarai ini, ia turut berdepan masalah lokasi yang kurang strategik.
Bandar Mbombela hanya mempunyai kira-kira 60,000 penduduk, menyebabkan pihak pengurusan sukar menarik kehadiran penonton secara konsisten.

Walaupun stadium berkapasiti 43,500 tempat duduk ini masih digunakan sekali-sekala untuk perlawanan bola sepak dan ragbi, terdapat persoalan besar tentang tahap kemampuan kewangannya untuk terus bertahan.
Sejak tahun 2010, stadium ini juga kerap berada dalam keadaan terbiar untuk tempoh yang panjang.
10. Lusail Stadium (Qatar 2022)
Lokasi perlawanan akhir Piala Dunia antara Perancis dan Argentina kira-kira tiga tahun lalu ini tidak sepenuhnya terbiar, namun ia dilihat sukar untuk kembali ke zaman kegemilangannya.
Stadium besar berkapasiti 89,000 tempat duduk ini masih digunakan untuk beberapa acara besar seperti Intercontinental Cup pada 2024 dan FIFA Arab Cup pada 2025.

Namun, penggunaannya tidak konsisten kerana tiada kelab atau penyewa tetap.
Stadium ini juga dijangka akan berubah dengan ketara melalui pelan legasi Lusail, yang merancang untuk mengurangkan kapasiti lebih separuh serta menukar sebahagian strukturnya kepada sekolah, kedai, kafe, klinik kesihatan dan kediaman.