Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pelbagai Projek Pembangunan Dirancang Bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) — Pelbagai projek pembangunan dirancang bagi membangunkan kawasan Kampung Baru supaya kelihatan lebih moden, tersusun dan cantik, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Katanya masjid di Kampung Baru akan dijadikan tempat pusat pembangunan di mana di hadapan masjid itu akan diadakan satu taman warisan masyarakat Melayu seluas 9.6 hektar.

“Taman warisan ini adalah berkonsepkan seperti Kampung Morten di Melaka tetapi lebih besar lagi. Dalam taman warisan ini terdapat rumah-rumah yang mempunyai seni bina Melayu dan 11 unit rumah yang sedia ada di Kampung Baru akan dipelihara dan diletakkan di dalam taman tersebut.

“Kini apa yang sedang dibina adalah satu jambatan jalan kaki moden yang dinamakan ‘Saloma Link’ yang akan dihiasi oleh lampu-lampu LED yang akan menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC (Kuala Lumpur City Centre) dan hanya mengambil masa 15 minit jalan kaki sahaja bagi orang Kampung Baru yang mahu ke KLCC selepas ini,” katanya semasa temu bual Ruang Bicara di Bernama TV di sini malam ini.

Beliau berkata taman warisan itu juga akan dibina sebuah panggung warisan yang akan mempertontonkan budaya masyarakat Melayu kepada orang ramai.

Katanya lebih banyak kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam akan disediakan di kawasan kampung tersebut dan kerajaan juga akan menambah kediaman mampu milik serta kawasan perniagaan orang Melayu di Kampung Baru bagi menambah bilangan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur secara tersusun dan terancang.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa