Siakap Keli
Kredit: Google

(Video) “Saya Malu Kerana Tidak Cukup Bersuara”, Bintang Rugby, Sonny Bill Williams Buka Mulut Mengenai Uighur

Selepas Mesut Ozil, bintang ragbi, Sonny Bill Williams turut menzahirkan sokongan terhadap minoriti Muslim Uighur di China.

Berdasarkan laporan Daily Mail, beliau menyatakan kekesalan kerana tidak bersuara lebih awal mengenai isu berkenaan.

“Mereka (komuniti Uighur) berada di kem tahanan di sana dan menghadapi ketidakadilan,” katanya.

“Saya hanya bercakap perkara benar. Kadangkala saya tersilap tapi dalam hal ini, saya yakin saya tidak silap,” tegasnya.

Williams yang memeluk Islam pada 2009 lalu mengikuti jejak bintang Arsenal, Mesut Ozil yang menyuarakan sokongan buat minoriti itu.

“Ia menyedihkan bila kita memilih keuntungan ekonomi berbanding kemanusiaan. #Uyghur,” tulis Williams berserta ilustrasi tekanan terhadap kumpulan minoriti Muslim berkenaan.

Atlet berusia 34 tahun itu menegaskan tidak gentar akan sebarang ancaman yang bakal diterima, malah mendakwa beliau agak malu kerana kurang bersuara.

“Bila berbicara dari kemampuan bersuara sebagai ahli sukan, saya agak malu kerana tidak cukup bersuara.

“Ini bukan soal Muslim semata, ini soal kemanusiaan,” ujarnya.

Sebelum ini, stesen penyiaran China telah membatalkan siaran perlawanan antara Arsenal dan Manchester City dari program mereka setelah Ozil menyuarakan sokongan terhadap minoriti Uighur.

Watak pemain itu turut dibuang dari permainan komputer bertemakan bola sepak di China.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.