Siakap Keli
Gambar: Bernama

Rapid Ambil Langkah Tambahan Minimunkan Risiko Jangkitan Koronavirus

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Rapid KL mengambil langkah tambahan bagi mengurangkan risiko jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) kepada lebih satu juta penumpang bas dan kereta api harian di seluruh negara.

Dalam menjaga kesejahteraan kakitangannya, syarikat itu telah menyediakan pemeriksaan kesihatan untuk kapten atau pemandu bas mereka sebelum memulakan tugas masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata pemeriksaan kesihatan dan suhu badan ke atas kapten bas wajib dilakukan setiap pagi sebagai rutin, bermula sejak minggu ketiga Januari lepas.

“Kami menyampaikan maklumat mengenai virus itu kepada kapten bas kami, dari segi apa yang mereka boleh lakukan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam keadaan kecemasan yang melibatkan mana-mana pelanggan.

“Rutin ini dilakukan setiap pagi di semua tujuh depoh Rapid KL kami, termasuk di Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung,” katanya pada sidang media di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini, hari ini.

Muhammad Yazurin menjelaskan, semua kapten bas disediakan dengan topeng muka, tetapi hanya pekerja yang sihat dibenar meneruskan tugas pemanduan mereka, manakala pekerja yang tidak sihat dinasihati untuk segera mendapatkan rawatan di klinik.

Selain itu, katanya pencuci pembasmi kuman tangan juga disediakan untuk penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas perantara Rapid KL dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) atau bas yang menuju ke lapangan terbang.

Langkah tambahan turut diambil oleh Rapid Rail, menerusi Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) yang ditayangkan pada monitor di Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan tren monorel yang memaparkan maklumat berbentuk grafik dan maklumat terkini mengenai 2019-nCoV .

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran berkata semua tren dibersihkan dengan teliti semasa stesen menamatkan operasi antara pukul 1.00 pagi-4.30 pagi serta antara 5.30 pagi-6.30 pagi dan pekerja pembersihan akan membersihkan semua sampah di kawasan stesen dan platform.

“Kebersihan tren dan kemudahan kami sentiasa menjadi keutamaan, semua pemegang tangga bergerak dan panel butang lif dibersihkan tiga kali sehari, manakala tandas dibersihkan 18 kali sehari, dengan pembersihan tambahan di semua kawasan apabila adanya keperluan,” katanya.

Abdul Hadi menambah, kata, pencuci pembasmi kuman tangan turut disediakan untuk kegunaan umum di kaunter kakitangan dan mereka dinasihatkan menjaga kebersihan diri apabila memasuki kawasan awam seperti stesen LRT atau MRT.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa