Siakap Keli

(Video) Media Rusia Dakwa Pesawat Bawa 172 Penumpang Nyaris Ditembak Dalam Operasi Udara Tentera Israel Di Syria

Sebuah pesawat Airbus A320 yang membawa penumpang seramai 172 orang dilaporkan terpaksa membuat pendaratan kecemasan di pangkalan udara yang dikawal Rusia selepas nyaris menjadi mangsa serangan peluru berpandu pertahanan udara Syria secara tak sengaja yang menyasarkan operasi serangan udara Israel di Damsyik.

Pesawat berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Tehran ke Damsyik ketika kejadian. Walau bagaimanapun, tindakan pantas yang diambil oleh pegawai trafik kawalan udara Damsyik berjaya menyelamatkan pesawat berkenaan daripada menjadi mangsa.

Media Rusia, RT mendakwa insiden berkenaan berpunca daripada tindakan pesawat pejuang Israel yang menjadikan pesawat penumpang berkenaan sebagai ‘perisai’ daripada serangan pihak Syria.

”Tindakan menjadikan pesawat penumpang sebagai perisai ataupun penghadang daripada serangan sistem pertahanan udara Syria adalah tipikal dalam operasi ketenteraan Tentera Udara Israel,” dakwa seorang jurucakap seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Menurut portal berita RT lagi, pada 2018 insiden seperti ini juga pernah terjadi kepada dua pesawat komersial yang dilaporkan terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Beirut dan Damsyik.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 2 pagi waktu tempatan. Sebanyak 4 buah pesawat pejuang F-16 milik tentera Israel didakwa melancarkan lapan peluru berpandu yang mensasarkan kawasan di pinggir bandar Damsyik, lapor seorang sumber kepada Al-Jazeera.

“Pujian buat petugas di menara kawalan lapangan terbang Damsyik kerana berjaya memberi amaran awal kepada pesawat tersebut, pesawat Airbus-320 itu telah diiring keluar dari zon bahaya dan telah berjaya mendarat di pangkalan udara Khmeimim yang dikawal tentera Rusia,” kata sumber itu.

Pada awal Khamis, menteri pertahan Syria menyatakan bahawa pertahanan udara Syria berjaya memintas misil yang dilancarkan Israel berdekatan Damsyik yang mensasarkan peralatan ketenteraan di selatan Syria.

Serangan yang dilakukan pesawat pejuang Israel itu dilancarkan dalam dua gelombang, satu berhampiran Damsyik dan satu lagi berhampiran wilayah Deraa dan Quneitra, katanya.

Sumber: Al-Jazeera, RT

Aqmal Ezany

I write what is right