Siakap Keli

TERKINI: Lagi Kes Koronavirus Libatkan Rakyat Malaysia, Mangsa Terbaru Berusia 31 Tahun

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan satu lagi kes terbaru disahkan postif jangkitan novel 2019-nCoV membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.

Lelaki berkenaan mempunyai sejarah melawat tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari 2020.

”Lelaki 31 tahun yang juga kes ke-18 adalah warga Malaysia yang bekerja di Macau dan mempunyai sejarah perjalanan melawat Tanah Besar China sebelum pulang ke Malaysia pada 1 Feb lalu,” menurut KKM dalam tweetnya.

Menurut kenyataan media itu lagi, pesakit dilaporkan berasa tidak sihat dan batuk pada 3 Februari 2020. Pada 4 dan 6 Februari 2020 pesakit telah pergi ke klinik dan telah diberi ubat.

Pada 7 Februari 2020, pesakit masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di mana seterusnya pada hari yang sama pesakit telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Hasil pemeriksaan pesakit dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut.

”Pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

”Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari 2020 telah disahkan positif 2019-nCoV,” kata kenyataan tersebut.

Datuk Dr. Nor Hisham Adullah berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telahpun diminta untuk melakukan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

Saya ingin menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang. Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan susulan daripada kes terkini dari semasa ke semasa.

KKM juga ingin menyeru orang ramai agar sekiranya memerlukan penerangan mengenai penyakit ini atau jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesuatu kejadian penyakit boleh menghubungi hotline yang diberi,’ ujarnya.

Hubungilah hotline di CPRC Kebangsaan di talian berikut:

03 88810200

03 88810600

03 88810700

Atau emel: [email protected]

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 18 kes koronavirus setakat ini.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.