Siakap Keli

Malaysia Negara Penyumbang Yang Penting – Setiausaha Agung Komanwel

CYBERJAYA, 11 Feb (Bernama) — Malaysia sentiasa menjadi penyumbang penting bagi Komanwel, kata Setiausaha Agung Komanwel Baroness Patricia Scotland.

Dengan memberi contoh Deklarasi Langkawi berhubung Alam Sekitar di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada tahun 1989, beliau berkata ia mungkin merupakan satu deklarasi yang dianggap paling penting ketika itu.

“… sumbangan pada tahun 1989 di Langkawi itu merupakan permulaan kepada misi Komanwel berhubung perubahan iklim, dan kita dapat lihat bagaimana ketika ini kesan perubahan iklim di seluruh dunia.

“Sama ada kemarau, banjir, atau ribut, kini ia menjadi krisis, dan Malaysia telah bersama kita (Komanwel) sejak 1957, anggota yang paling bernilai dalam keluarga Komanwel,” katanya dalam persidangan media selepas majlis pelancaran Anugerah Biasiswa Komanwel King Henry (KH 8) College, di sini hari ini, semasa dirujuk pendapatnya mengenai sumbangan Malaysia kepada Komanwel.

Beliau yang merupakan wanita pertama yang memegang jawatan Setiausaha Agung Komanwel, berada di Malaysia untuk lawatan kerja tujuh hari mulai Ahad sehingga 15 Feb, atas jemputan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Komanwel merupakan perkumpulan sukarela 54 negara, termasuk negara maju dan sedang membangun seperti Malaysia, dengan penduduk keseluruhannya berjumlah kira-kira 2.4 bilion orang.

Baroness Scotland berkata dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, serta timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan beberapa menteri persekutuan, beliau telah mendapat maklum balas yang cukup positif.

Sementara itu beliau turut memuji langkah KH 8 College yang menawarkan 10 biasiswa kepada pelajar Komanwel, dan berkata ia membuka ruang kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran merek di samping memberi latihan untuk menjadi pemimpin masa depan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right