Siakap Keli

Covid-19: JKNJ Nafi Arah Tutup Sebuah Sekolah Di Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak pernah mengarah penutupan sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) di Johor Bahru mahupun menghalang murid sekolah itu daripada menghadiri kelas berikutan ancaman jangkitan COVID-19, kata Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

“Pihak jabatan menafikan tindakan yang diambil adalah atas arahan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam akaun rasmi Facebook JKNJ, malam ini.

Beliau mengulas berita yang tular di media sosial mengenai seorang murid di sekolah berkenaan yang ibu bapanya telah disahkan positif COVID-19. Berita itu menyatakan pihak sekolah telah mengambil tindakan tutup kelas dan melarang murid mendekati kelas.

“Pihak sekolah telah mendapat maklumat daripada sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan pencegahan jangkitan sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Aman berkata sekolah terbabit adalah sekolah seorang kanak-kanak yang merupakan kontak kepada kes virus itu yang dirawat di Singapura sejak 10 Feb lepas.

“JKNJ menjalankan pengesanan kontak kes COVID-19, termasuk langkah-langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes. Terdapat tiga kontak rapat yang dikenal pasti iaitu isteri dan dua orang anak, berumur enam dan lapan tahun,” katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu mendapati mereka negatif jangkitan COVID-19 dan masih diisolasi di hospital sebagai kontak kes positif manakala status isteri pesakit masih dalam siasatan hospital.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)