Siakap Keli

Bomba Perak Tubuh Unit Menyelamat Di Gua Yang Pertama Di Malaysia

BATU GAJAH, 18 Feb (Bernama) — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak menubuhkan Unit Menyelamat di Gua yang pertama dalam negara secara rasminya  tahun ini bertujuan memantapkan sektor pelancongan negeri.

Pengarahnya Azmi Osman berkata setakat ini 35 pegawai terlibat dalam unit itu yang ditubuhkan sejajar dengan usaha menjadikan gua sebagai kawasan tarikan pelancong yang selamat untuk dikunjungi.

“Kesemua pegawai ini dipilih berdasarkan penyertaan unit-unit sama ada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), penyelam dan MUSTeam seluruh Perak yang dilatih dengan kursus berkaitan keselamatan di gua.

“Kita menubuhkan pasukan ini  (bagi memastikan ada pasukan yang mantap dari segi kemahiran dan sebagainya) sekiranya berlaku insiden-insiden yang tidak diingini, apabila pengunjung membuat lawatan ke gua-gua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Simulasi Menyelamat di Air ke Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5. Turut hadir Exco Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak, Anuar Zainal Abidin di sini hari ini.

Azmi berkata pegawai berkenaan akan ditempatkan di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat berdasarkan hasil kajian yang mendapati terdapat 30 gua di daerah Kinta.

“Aspek penilaian di gua-gua yang kita terokai setakat ini secara dasarnya berada dalam keadaan baik dengan kita memfokuskan kepada pintu keluar dan kebanyakan gua-gua di sini terdapat dua hingga tiga pintu.

“Jadi sekiranya berlaku sebarang insiden, tindakan bagi proses menyelamat dan menyelamatkan diri adalah di tahap yang baik,” katanya sambil menegaskan pihaknya memandang serius aspek keselamatan khususnya berkaitan pelancongan dan rekreasi di kawasan gua.

Katanya JBPM Perak akan membuat lawatan berkala untuk memberi khidmat nasihat tentang keselamatan diri kepada pengunjung di kawasan gua selain sedang merancang langkah-langkah untuk meningkatkan tahap pengetahuan pengunjung yang meneroka kawasan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right