Siakap Keli

12 Orang Dituduh Sokong LTTE Dibebaskan, Prosiding Dihentikan Terhadap Mereka – Peguam Negara

KUALA LUMPUR,  21 Feb (Bernama) — Dua belas individu yang didakwa menyokong LTTE termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan dan ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren akan dibebaskan selepas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas membuat keputusan untuk menghentikan prosiding terhadap mereka.

Dalam kenyataan media 11 muka surat, Thomas memutuskan tiada prospek realistik untuk sabitkan kesalahan terhadap mana-mana 12 lelaki itu terhadap 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

“Oleh itu, dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perkara Perlembagaan, saya memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap mereka dengan serta-merta,” katanya.

Menjelaskan keputusannya itu, Thomas berkata kesemua 12 tertuduh LTTE mempunyai tema yang sama, dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka, mempunyai foto pemimpin LTTE seperti Velupillai Prabhakaran dan pemimpin lain LTTE yang dibunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka.

Beliau berkata jika perlakuan sedemikian boleh menjadi satu kesalahan jenayah, ia akan mencalarkan imej undang-undang.

“Namun, walaupun kemungkinan terdapat unsur ‘tindakan pengganas’ di pihak semua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan foto seperti Prabhakaran, ia adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan kerana mereka hanya merupakan sekadar ‘penyokong, protes atau pertentangan pendapat,” katanya.

Dua belas tertuduh itu adalah anggota DAP, V. Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B. Subramaniam, 58; penjaga stor, S. Thanagaraj, 27; ADUN Gadek, G. Saminathan, 35; ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S. Chandru, 39; juruteknik, S. Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M. Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V. Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S.Teeran, 39.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah SOSMA mereka tidak dibenar diikat jamin.

Mereka didakwa pada Oktober 2019.

Thomas berkata LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Menteri Dalam Negeri melalui Perintah yang diwartakan pada 12 Nov 2014.

Beliau berkata seorang daripada tertuduh didakwa memberi sokongan dan mengedarkan barangan berkaitan LTTE pada Mac dan Jun 2014, iaitu sebelum LTTE diwartakan sebagai kumpulan pengganas.

Peguam Negara menyatakan adalah jelas pertuduhan yang dihadapi tertuduh dengan sendirinya tidak kukuh kerana pada masa itu, LTTE masih belum digazetkan, iaitu elemen yang perlu bagi kesalahan itu.

“Di samping itu terdapat hujah untuk membela setiap tertuduh bahawa pengisytiharan LTTE sebagai kumpulan pengganas pada 12 Nov 2014 berkemungkinan tidak sah atau sekurang-kurangnya patut dibatalkan selaras dengan kajian semula Perintah di bawah Seksyen 66B (9),” katanya.

Thomas menjelaskan ‘perbuatan pengganas’ ditakrifkan dalam Seksyen 130B(2) Kanun Keseksaan bermaksud suatu perbuatan atau ancaman tindakan di Malaysia atau di mana-mana yang memenuhi satu atau lebih kriteria dalam Seksyen 130B(3) dan yang dengan jelas tidak termasuk dalam pengecualian yang diperuntukkan dalam Seksyen 130B(4).

Beliau berkata kriteria yang tersenarai di bawah Seksyen 130B(3) menjadikan ia jelas bahawa perbuatan pengganas atau ancaman tindakan dianggap tindakan yang berat dan serius.

“Contoh-contoh termasuk tindakan yang menyebabkan kematian dan penggunaan senjata api serta bahan letupan. Pengecualian yang diperuntukkan dalam Seksyen 130B(4), sebaliknya, menjelaskan tindakan sokongan, protes atau pertentangan pendapat atau tindakan industri yang tidak bertujuan menyebabkan kematian, kecederaan serius atau menimbulkan risiko kepada keselamatan awam, bukanlah perbuatan pengganas atau ancaman tindakan. Secara ringkas, perbuatan aman bukanlah tindakan pengganas.

“Pengecualian yang diberikan oleh Seksyen 130B(4) mencerminkan pengiktirafan Parlimen terhadap hak-hak asasi perlembagaan, termasuk hak kebebasan bercakap dan bersuara dan hak kebebasan untuk berpersatuan dan berhimpun.

Garis pemisah antara perbuatan yang dianggap tindakan pengganas dan perbuatan yang tidak adalah keseriusan perbuatan itu: jika ia menyebabkan atau bertujuan menyebabkan kematian orang lain, ia adalah tindakan pengganas. Namun jika ia sekadar kenyataan atau protes, sama ada di media sosial atau sebaliknya, tanpa ugutan keganasan, ia bukanlah tindakan pengganas,” katanya.

Dalam keputusannya untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh, Thomas berkata ia adalah lazim untuk mempunyai idola yang diagungkan.

Peguam Negara berkata ia bukan hanya bintang pop, ahli sukan atau aktor yang dikagumi, tokoh sejarah dan ahli politik adalah subjek yang sering dipuja.

Oleh itu, jutaan orang di seluruh dunia mengagumi Lenin, Stalin, Mao Tse Tung atau Che Guevara, dan mempunyai gambar dan representasi lain dalam telefon bimbit atau akaun Facebook seseorang tidak mengubahnya menjadi pengganas.

“Hanya kerana pemimpin ini menggunakan keganasan atau kekerasan untuk mencapai matlamat politik mereka, tidak bermakna penyokong tegar dalam talian seharusnya dianggap sebagai pengganas atau merancang tindakan pengganas,” katanya.

Beliau menjelaskan pada Julai 2017, LTTE telah dikeluarkan daripada senarai hitam pengganas oleh Kesatuan Eropah oleh Mahkamah Keadilan Eropah bagi kali kedua.

Thomas berkata mahkamah mendapati tiada bukti LTTE melakukan serangan selepas kekalahan tenteranya pada 2009.

“LTTE tidak disyaki mahupun dikaitkan dengan serangan bom baru-baru ini di Sri Lanka pada Hari Easter 2019. LTTE tidak pernah dalam sejarahnya melakukan serangan keganasan di Malaysia,” katanya.

Thomas berkata sebagai Pendakwa Raya, beliau mestilah menjaga, menggalakkan dan mempertahankan kepentingan keadilan.

Beliau berkata adalah menjadi kewajipan pendakwa bahawa undang-undang diaplikasikan dengan betul dan mencari keseimbangan antara kepentingan awam yang bercanggah.

“Kesungguhan membuat persediaan untuk perbicaraan membuatkan ia berbeza daripada penyiasatan polis atau agensi siasatan lain,” katanya.

Para pendakwa mestilah mengambil kira fakta-fakta yang hanya diketahui semasa kes berkembang selepas pertuduhan dikenakan. Kecukupan bukti untuk membuktikan standard jenayah ‘melampaui keraguan munasabah’ sentiasa menjadi cabaran.

“Saya hendaklah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk memperoleh prospek yang jelas untuk sabitan terhadap setiap suspek bagi setiap pertuduhan. Dalam mencapai keputusan tersebut, saya hendaklah menjalankan budi bicara dengan bertanggungjawab dan saksama,” katanya.

Thomas berkata enam daripada tertuduh didakwa bagi kesalahan yang dikatakan berlaku di antara Mac dengan Disember 2014, tetapi pihak pendakwaan tidak mendapati ia sesuai untuk menuduh mereka segera setelah kesalahan yang dikatakan telah dilakukan.

“Ia adalah bercanggah dengan kepentingan awam bagi enam orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan yang dikatakan dilakukan enam tahun lepas. Peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata pertuduhan berkaitan dengan enam tertuduh melibatkan kesalahan yang dikatakan berlaku pada Januari dan Oktober 2019.

Bagaimanapun, Thomas berkata pada masa ini, walaupun LTTE masih lagi digazet di bawah undang-undang kita sebagai kumpulan pengganas, pihak pembelaan akan mencabar bahawa LTTE tidak bertanggungjawab terhadap keganasan waima dalam negara asalnya, Sri Lanka pada 2019, inikan pula mempunyai impak ke atas urusan seharian orang-orang awam di Malaysia.

Kaitannya adalah jauh, tidak betul dan lemah. Mudarat kepada warga Malaysia tidak boleh dibuktikan oleh pendakwaan.

Seksyen 95 Kanun Keseksaan memperuntukkan berkenaan perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kecil. Ia memperuntukkan:- “Tiadalah apa-apa jua menjadi kesalahan oleh sebab ia menyebabkan atau ia dimaksud menyebabkan atau ia diketahui mungkin menyebabkan apa-apa kemudaratan, jika sekiranya kemudaratan itu adalah sebegitu kecil yang seseorang yang berakal dan berperangai biasa tidak akan mengadu tentang kemudaratan yang seperti itu.”

Seksyen 95 memberi penekanan kepada ‘kemudaratan’ oleh itu, kesalahan yang tiada mangsa atau yang tidak ‘memudaratkan’ sesiapa seharusnya dipertimbangkan dengan berhati-hati oleh pendakwaan, katanya.

Beliau berkata 34 pertuduhan yang dihadapi tertuduh pada mulanya fokus adalah pada SOSMA kerana tertuduh telah ditangkap dan ditahan selaras dengan prosedur yang digariskan di dalam SOSMA.

Walau bagaimanapun, memandangkan perbicaraan mereka semakin hampir, pendakwaan perlu beralih kepada Kanun Keseksaan yang mengandungi peruntukan yang kesalahan yang membentuk asas pertuduhan dijumpai.

Beliau berkata terdapat lima kategori kesalahan yang dihadapi mereka, iaitu enam pertuduhan ‘memberi sokongan’ kepada LTTE dalam suatu majlis; 13 pertuduhan ‘memberi sokongan’ kepada LTTE dalam media sosial; 13 pertuduhan untuk ‘memiliki’ bahan-bahan berkaitan dengan LTTE; satu pertuduhan untuk ‘mengedar’ bahan-bahan berkaitan LTTE; dan satu pertuduhan untuk ‘memaparkan’ bahan berkaitan LTTE.

— BERNAMA

 

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)