Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Malaysia, Korea Selatan Raikan Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Malaysia dan Korea Selatan hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dengan pemimpin kedua-dua negara saling merakamkan ucapan tahniah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertukar perutusan tahniah dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, mencerminkan hubungan persahabatan yang erat sejak sekian lama, dipupuk oleh kedua-dua negara selama lebih enam dekad.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Korea Chung Sye-Kyun turut saling mengucapkan tahniah, dengan kedua-dua pemimpin juga menegaskan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan meningkatkan hubungan peringkat tertinggi, kerjasama ekonomi dan teknologi.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Kang Kyung-wha juga antara pemimpin yang turut bertukar perutusan tahniah, dengan kedua-dua menteri akan berusaha meningkatkan koordinasi politik dua hala dan pelbagai hala serta memberi tumpuan terhadap dasar serantau untuk kemakmuran bersama.

Selama 60 tahun ini, hubungan Malaysia dan Republik Korea Selatan adalah kukuh dan padu, dengan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dijangka terus berkembang tatkala kedua-dua negara terus melaksanakan konsensus yang digariskan oleh para pemimpin bagi meningkatkan kerjasama bermanfaat dan menggalakkan keamanan dan pembangunan serantau.

Jumlah dagangan pada 2019 adalah USD17.51 bilion dengan jumlah kedatangan pelancong Korea ke Malaysia meningkat kepada 508,080 bagi tempoh sama.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story